Penceroboh Haram Main Kotor Tabur Paku Sabotaj Penguatkuasa


ALOR SETAR - Bagi mengelakkan kegiatan mereka dihalang, penceroboh haram di hutan simpan tergamak untuk menabur paku bagi mensabotaj Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) atau Ops Pugar bersama agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Hutan Simpan Bukit Perak, Pendang, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi JPNK, Mohd Rahim Ramli berkata, susulan tindakan tersebut, sebanyak tujuh kenderaan pacuan empat roda milik agensi tersebut pancit dan terpaksa mengambil masa agak lama untuk mengganti tayar baru.

“Sebanyak 20 hektar kawasan perhutanan milik kerajaan di kawasan hutan simpan Bukit Perak dicerobohi oleh penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab dengan menanam pelbagai jenis tanaman seperti getah dan pokok buah-buahan,” katanya.

Operasi Pugar tersebut disertai seramai 157 kakitangan dari JPNK dan 18 agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Pendang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi lain terlibat.

"Dari jumlah itu, seramai 70 daripada mereka adalah anggota penguat kuasa dari JPNK dan selebihnya dari agensi lain," katanya.


Lokasi operasi yang terlibat membabitkan kompartmen 37 dan 38 (ZON A B C) di Hutan Simpan Bukit Simpan.

“Kesemua lokasi operasi merupakan kawasan hutan simpan dan kami ingin rakyat sedar akan kesalahan mereka menceroboh kawasan terbabit bagi tujuan aktiviti pertanian secara haram boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Pihak yang terlibat telah menjalankan kerja pembersihan dan mengambil tindakan memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram atas tanah kerajaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com