Pemuda Maut Langgar Lampu Isyarat Di Jalan Alor Setar- Butterworth


ALOR SETAR - Seorang pembantu kedai maut manakala seorang remaja cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 5605 Jalan Alor Setar - Butterworth berhampiran lampu isyarat Jakel di Sungai Petani, awqal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, Ahmad Amirul Shuhaimi, 21, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala manakala Muhammad Khairul Azrien Ahmad Sazili, 18, kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abdul Hamid berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa yang datang dari arah pekan Sungai Petani menuju ke Butterworth gagal mematuhi lampu isyarat.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal Yamaha RXZ dan 125 itu dipercayai sedang berlumba dan tidak mematuhi lampu isyarat.

“Pemandu kereta Perodua Kembara yang dalam perjalanan menghala ke pekan Sungai Petani bagaimanapun tidak sempat mengelak kedua-dua motosikal berkenaan. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal Yamaha RXZ meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Menurut Saifi, mangsa kedua pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan bahagian belakang peha kanan kini dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta Perodua Kembara yang masing-masing berumur 37 serta 28 tahun itu tidak mengalami kecederaan. Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com