Pemandu Treler Tak Mengaku Salah Sebabkan Sekeluarga Terbunuh


PEMANDU treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini, terhadap tuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada Jumaat.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Ismail Mohammad Zain, 31, di hadapan Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu treler jenis Hino bernombor pendaftaran ACV 4932 dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian pemandu dan penumpang Proton Wira di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 7.50 pagi, 29 September 2017.

Mangsa yang maut ialah empat sekeluarga iaitu Zainuddin Anuar, 30, isteri, Raizuamira Daud, 31, anak sulung mereka, Nur Annisa Sofea, 2, dan bayi, Zayyan Nazreel berusia 13 hari.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro melaporkan dalam kejadian itu, empat beranak maut apabila Proton Wira dinaiki bertembung treler muatan beras.

Difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kampung Tok Derpah, Tok Sangkut, Pasir Mas untuk berpantang.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com