Peluru Jenis SME 8-02 Dijumpai Bertaburan Berhampiran Tempat Buang Sampah


SEBANYAK 176 peluru jenis SME 8-O2 yang digunakan untuk pistol ditemui bertaburan di Jalan Batu 14 menghala ke Ampang berhampiran tempat pembuangan sampah Hulu Langat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki berusia 38 tahun pada 9.10 pagi memaklumkan penemuan peluru itu.

"Lelaki itu ternampak peluru terbabit bertaburan di atas jalan ketika menunggang basikal dari Batu 18 menuju Ampang, lalu berhenti untuk melihat lebih dekat.

"Sebaik menyedari objek itu adalah peluru hidup, lelaki berkenaan menghubungi 999 memaklumkan penemuan itu kepada polis," katanya.

Dzaffir berkata, siasatan awal di lokasi kejadian menemui 176 peluru sembilan milimeter jenis SME 8-02 bertaburan di tepi jalan.

“Kawasan berkenaan bukan tempat latihan menembak dan tiada lapang sasar yang berhampiran.

“Sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh sesiapa mengenai kehilangan peluru," katanya.

Menurutnya, semua peluru itu dihantar ke Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor untuk pengesahan dan ujian.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com