Pelajar Mahu Kerajaan Kembalikan Baucar Buku?


SHAH ALAM - Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) memohon kerajaan supaya dapat mengembalikan semula baucar buku, dengan membuat sedikit pindaan menjelang pembentangan Bajet 2018.

Presidennya, Ishak Hamzah berkata, kerajaan perlu mengkhususkan pembelian buku melalui Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dengan kaedah e-wallet.

“Maknanya, bagi KADS1M ini, kita minta supaya RM100 daripada RM250 yang diberikan kepada pelajar, dikhususkan untuk pembelian buku dalam bentuk e-wallet,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Awal tahun ini, pemberian baucar buku diganti dengan KADS1M, di mana pelajar bukan sahaja boleh membeli buku, malah dapat membeli keperluan lain seperti aksesori komunikasi.

Ishak yang juga Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (DBIM) berkata, kerajaan juga perlu beri pelepasan cukai bagi pembelian bahan bacaan yang diletakkan dalam kategori gaya hidup.

“Dulu RM2,500 diperuntukkan sebagai pelepasan dalam kategori gaya hidup, tetapi kami mohon untuk Bajet 2018, pelepasan cukai sebanyak RM1,000 dapat dikembalikan untuk bahan bacaan,” katanya.

 Ishak berkata, institusi berkaitan buku seperti Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan dan Perpustakaan Negara juga perlu mendapat peruntukan daripada kerajaan, dengan jumlah sekurang-kurangnya RM20 juta.

Malah katanya, perpustakaan negeri dan pusat sumber di sekolah rendah serta menengah juga memerlukan peruntukan bagi membeli keperluan buku.

“Kalau kita lihat, perpustakaan dan pusat sumber kebanyakannya tidak dapat buku baharu dan perkembangan ini tidak bagus untuk pembangunan modal insan rakyat Malaysia.

 “Malah, lebih teruk lagi, industri buku di negara ini juga semakin terjejas dan ia perlu dibantu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Mabopa, Arief Hakim Sani Rahmat berkata, kerajaan juga digesa supaya dapat menyediakan peruntukan bagi menggerakkan kempen membaca untuk seluruh rakyat negara ini, khususnya golongan pelajar.

Menurutnya, pada masa kini kempen membaca sudah tidak kelihatan dan keadaan itu bakal memberikan impak negatif kepada masyarakat.

“Kita kena pupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar bagi membolehkan Malaysia menjadi negara maju selepas ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com