Pasport Singapura Diiktiraf Paling Berkuasa Di Dunia


Buat pertama kali sebuah negara Asia mempunyai pasport paling berkuasa di dunia.

Negara seberang tambak, Singapura mendapat pengiktirafan itu selepas menduduki tempat pertama Indeks Pasport iaitu pasport paling diiktiraf di dunia dengan memperoleh markah negara bebas visa 159.

Pengiktirafan tersebut diberikan oleh Indeks Pasport yang dibangunkan oleh laman web 'Global Passport Power Rank 2017', Arton Capital.

Menurut Pengarah Urusan Arton Capital, Philippe May, Singapura sentiasa berusaha meningkatkan 'kekuatan' pasportnya sejak tahun 1965.

"Ini berikutan faktor dasar luar yang berpandangan jauh dan hubungan diplomasi yang sangat baik dengan memahami globalisasi sebagai satu peluang.

"Singapura tidak terkunci dalam zon perjalanan biasa (contohnya dengan negara-negara ASEAN yang lain), dan tidak pernah mengenakan sekatan visa kepada warga asing hanya kerana negara-negara anggota ASEAN lain mempunyai sekatan," kata May kepada CNN.

Tambah May, semakin ramai orang melabur ratusan ribu dolar bagi mendapatkan pasport kedua kerana menawarkan peluang dan keselamatan yang lebih baik untuk diri dan keluarga mereka.

Berada di tangga kedua adalah Jerman dengan markah bebas visa, 158.

Manakala, Malaysia berada di tangga ke enam setanding dengan pasport negara maju seperti Ireland, Kanada dan Amerika Syarikat.

Kedudukan terkini Indeks Pasport paling berkuasa:

1. Singapura: 159

2. Jerman: 158

3. Sweden, Korea Selatan: 157

4. Denmark, Finland, Itali, Perancis, Sepanyol, Norway, Japun, United Kingdom: 156

5. Luxembourg, Switzerland, Netherlands, Belgium, Austria, Portugal: 155

6. Malaysia, Ireland, Kanada, Amerika Syarikat: 154

7. Australia, Greece, New Zealand: 153

8. Malta, Czech Republic, Iceland: 152

9. Hungary: 150

10. Slovenia, Slovakia, Poland, Lithuania, Latvia: 149

Jadi apakah pasport yang menawarkan pergerakan paling rendah?

Berada di tempat terakhir pada senarai baru Indeks Pasport adalah Afghanistan dengan skor 22, diikuti oleh Pakistan dan Iraq (26), Syria (29) dan Somalia (34).

Indeks Pasport adalah rujukan dunia mengenai semua pasport.

Dibangunkan oleh Arton Capital, Indeks Pasport telah menjadi alat interaktif dalam talian paling popular untuk memaparkan, menyusun dan menaraf pasport dunia.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com