PAS Sindir DAP P. Pinang "Terlalu Bijak" Hingga Tak Perlu Pandangan JAS


Kerajaan PAS Kelantan menyifatkan kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai terlalu ‘bijak’ dalam menanggani tanah runtuh yang mengakibatkan kematian pekerja pembinaan Sabtu lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, mungkin kerana pentadbiran negeri itu terlalu bijak hingga tidak perlukan lagi kelulusan dan pandangan Jabatan Alam Sekitar (JAS)  dalam melaksanakan projek pembangunan.

Ahmad Yakob menasihati kerajaan negeri itu agar mematuhi prosedur ditetapkan sebelum melaksanakan sesuatu projek agar tragedi yang mengorbankan 11 nyawa di Tanjung Bungah tidak berulang.

“Dalam mentadbir tidak semua kerajaan sempurna, pasti ada kekurangan cuma kita kena sedar itu. Jangan memperkecilkan mana-mana pihak," kata Ahmad yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kota Bahru semalam.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan mendakwa tidak bergantung  kepada cadangan JAS semata-mata dalam meluluskan sesebuah projek pembangunan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu-lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dua hari lepas  mendedahkan kerajaan tetap memberi kelulusan kepada projek perumahan di kawasan tanah runtuh meskipun tidak disokong JAS.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal hingga menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Beliau juga mendakwa Kerajaan PAS Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com