Pak Majid Cherating Catat Rekod Hasil Sulaman Manik Terpanjang Di Dunia


USAHA keras selama 10 tahun untuk menghasilkan sulaman manik terpanjang di dunia akhirnya berbaloi buat Abdul Majid Abdul Rahman apabila hasil seninya diiktiraf World Record Academy, kelmarin.

Anak kelahiran Besut, Terengganu berusia 57 tahun itu menerima perkhabaran gembira menerusi emel daripada institusi berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) memaklumkan hasil seninya sepanjang 17.8 meter panjang dan satu meter lebar itu diiktiraf sebagai rekod dunia.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Cherating, Kuantan, hari ini, dia yang lebih mesra disapa Pak Majid Cherating (PMC) oleh penduduk setempat gembira dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan selepas bertungkus lumus menyiapkan hasil kerjanya.

“Bukan mudah menyiapkan seni sulaman manik ini kerana perlu teliti dan fokus dalam menghasilkan unsur tempatan pada sulaman manik saya.

“Ia disulam dengan menggabungkan 500,000 manik dari seluruh pelosok negeri hingga akhirnya saya mendapat pengiktirafan di peringkat dunia,” katanya.

Abdul Majid yang turut mencipta rekod sulaman manik terpanjang di Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2005 berkata, projek untuk mencipta rekod dunia ini dimulakannya pada 2007 selepas melakukan kajian yang mendalam.

Menurutnya, secara purata dia menghabiskan masa tiga hingga empat jam sehari untuk melakukan kerja sulaman yang kebiasaan dilakukan pada waktu malam.

“Bercakap soal cabaran, memang banyak. Ia bukan saja datang pada kerja menyulam itu sendiri malah perlu mematuhi standard piawaian ditetapkan. Saya tidak boleh mengukurnya sendiri, ia mesti dilakukan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” katanya.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berharap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dapat berangkat untuk menyerahkan sijil yang bakal dikeluarkan World Record Academy itu kepada dirinya dalam masa terdekat.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com