Orang Kaya Perlu Bayar Cukai Tambahan: MTEM


KUALA LUMPUR - Bagi membantu struktur ekonomi negara agar terus berkembang dengan baik, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM) mencadangkan golongan kaya di negara perlu dikenakan cukai tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazit Othman berkata, cadangan itu diharapa akan dapat dipertimbang seterusnya dibentangkan dalam Bajet 2018, Jumaat ini.

Menurutnya, golongan satu peratus terkaya dalam negara perlu membayar cukai untuk menggalakkan pengagihan kekayaan yang lebih seimbang dalam kalangan rakyat.

"Mekanisma ini bukan untuk menyerang golongan kaya. Realitinya keadaan ekonomi mencabar. Apa yang kami cadangkan ini ialah mencukai orang yang boleh dicukai, yang mampu dicukai dan tak akan papa kedana kalau dicukai.

“Beberapa cukai tambahan lain seperti cukai kekayaan, cukai warisan dan juga cukai pendapatan. Kita sedia maklum cukai pendapatan dibayar oleh mereka yang layak, tetapi untuk golongan satu peratus terkaya ini, dua cukai tambahan ini dilihat mampu membantu pendapatan negara.

“Kerajaan juga perlu tampil dengan mekanisme yang akan menggalakkan pengagihan kekayaan dalam negara dengan lebih adil dan saksama,” katanya dalam sidang media hari ini berhubung Bajet 2018.

Katanya, cukai warisan juga boleh diperkenalkan memandangkan kebanyakan negara maju sudah lama mengamalkannya.

“Biasanya harta yang dimiliki seseorang itu seperti aset, wang tunai akan diberikan kepada keluarga setelah kematiannya.

“Jadi, cukai boleh dikenakan terhadap keseluruhan harta-harta tersebut. Perkara ini sudah diamalkan oleh mereka yang jutawan di luar negara,” katanya.

Jelasnya, perkara sama boleh dibuat kepada cukai kekayaan.

Tambahnya, dengan pelaksanaan ini merupakan langkah tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukanj bajet negara.

“Malah dengan menggalakkan golongan kaya membayar cukai ini, ia akan memberi impak yang besar terhadap hala tuju negara.

“Ia secara langsung akan memberi faedah kepada rakyat secara umumnya,” katanya.

Dalam pada itu, selain cukai, MTEM turut memberikan empat lagi syor berhubung bertumbuhan ekonomi untuk pembentangan Bajety Jumaat ini.

“Kesemua perkaraq adalah tertumpu kepada kenaikan gaji, pengecualian cukat barang dan perhidmatan (GST) untuk industri pertanian dan makanan, isu pekerja asing, pelaburan asing dan jurang pendapatan.

“Semua perkara ini wajar dipertimbangkan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat. Kami memandang kesemua syor ini begitu serius dan jika tidak dipertimbangkan, pertumbuhan ekonomi negara tidak akan dapat berkembang,” katanya.

Ahmad Yazit berkata, syor-syor ini juga sudah dibentangkan kepada pihaqk tertentu sebelum ini yang berkepentingan dalam Bajet 2018.

“Kita sangat berharap, ia akan dapat dilunaskan dengan baik,” ujarnya.   

Sementara itu, MTEM turut menyokong cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800.

“Kali terakhir kenaikan gaji adalah pada 2013 di mana jumlahnya RM1,000 .

“Seharusnya kenaikan ini dibuat setiap tahun, namun sejak dua tahun ini tiada, jadi dengan cadangan terbaharu itu, dianggap wajar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com