Nicol Kecundang Di Final Kejohanan Skuasy Terbuka Netsuite


KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam usahanya untuk meraih kejuaraan kedua Jelajah PSA selepas kecundang dalam perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Netsuite di Francisco, Amerika Syarikat pada Sabtu (awal pagi Ahad di Malaysia).

Pemain nombor lima dunia itu yang hanya meraih satu kejuaraan musim ini - Ciudad de Floridablanca di Colombia pada Mac - mempamerkan persembahan cemerlang mendahului 2-0 menentang Sarah-Jane Perry dari England sebelum akur 11-8, 11-8, 7-11, 12-14 dan 7-11 dalam pertarungan sengit yang berlangsung kira-kira 74 minit di Justin Herman Plaza, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.oraclenetsuiteopen.com.

Kekalahan itu merupakan yang keempat berturut-turut Nicol di tangan pemain England berusia 27 tahun berkenaan menyusuli pertemuan mereka di Final Siri Dunia PSA Dubai, Terbuka Britain dan Kejohanan Beregu Dunia Wanita.

Malaysia tidak menghantar wakil untuk divisyen lelaki dalam kejohanan tahunan itu yang diadakan sejak 2011 sebelum divisyen wanita diperkenalkan pada 2015.

Nicol akan meneruskan usahanya memburu kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat yang dijadualkan dari 5 hingga 14 Okt ini di Drexel University, Philadelphia. - Bernama


Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com