Nenek Berkorban Jaga Cucu Sebatang Kara


BATU PAHAT - Demi kasih dan sayang, seorang nenek di Rumah Pangsa Kampung Kenangan Datuk Onn, di sini, sanggup mengambil alih penjagaan dua cucu angkat selepas anak tunggal dan menantunya meninggal dunia.

Halimah Ahmad, 69, yang tidak bekerja itu menjaga dua cucu angkatnya, Akif Asyraf Success Abdullah, 7, dan Almira Awadah Success Abdullah, 6, selepas anak tunggalnya, Nurlizawati Jelani, 36, meninggal dunia akibat demam panas dua tahun lalu.

Katanya, menantunya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja di Kuala Lumpur pada tahun 2012.

"Anak perempuan saya tidak dikurniakan anak. Mereka sepakat mengambil Akif dan Mira sebagai anak angkat sejak dilahirkan secara sah selepas diluluskan mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Mereka amat sayangkan kedua-dua anak ini, tapi ketika Akif berusia dua tahun dan adiknya, Mira, berusia setahun, ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan tiga tahun selepas itu, anak perempuan saya meninggal dunia akibat demam panas.

"Sebelum meninggal, anak perempuan sempat berpesan supaya menjaga kedua-dua anaknya ini seperti saya menjaganya dulu. Apa yang saya tidak boleh lupa ketika hayatnya, arwah sempat berkata, dia akan bekerja kuat untuk membahagiakan saya dan dua anaknya itu namun hajatnya tidak kesampaian apabila dia meninggal dahulu.

"Selagi kudrat masih ada, saya akan menjaga kedua-dua cucu kesayangan ini dengan sempurna termasuk menjaga makan minum dan persekolahan mereka.

"Alhamdullilah, rezeki kami sentiasa ada walaupun saya tidak bekerja dan hanya mengharap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain membuat karipap jika ada tempahan," katanya.

Terdahulu Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat diketuai Pengerusinya, Hamidi Mad Tap melawat warga tua dan dua cucunya itu di rumah mereka dan menghulurkan bantuan wang tunai selain barang keperluan harian.

Halimah berkata beliau terharu dengan keprihatinan UMNO Batu Pahat yang sejak dulu mengambil berat dan sering menjenguk keluarganya selain menghulurkan bantuan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com