Nenek 73 Tahun Dari Kuala Nerus Gembira Akhirnya Miliki Lesen Memandu


KUALA NERUS - Keinginan nenek berusia 73 tahun untuk memiliki lesen memandu akhirnya menjadi kenyataan apabila lulus dalam ujian memandu kelolaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam percubaan kali kedua semalam.

Kegagalan dalam ujian memandu pada 4 Okt lepas tidak melemahkan semangat Fatimah Hassan untuk mengambil ujian ulangan.

"Syukur kepada Allah SWT dan saya berasa sangat gembira, tidak tahu macam mana hendak mengambarkan kegembiraan ini dan seolah-olah satu beban berat yang saya pikul sebelum ini hilang dengan tiba-tiba apabila pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Raya memberitahu saya lulus ujian.

"Anak nombor lima saya sanggup mengambil cuti kerja untuk menemani... memberi semangat kepada saya", katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Menurutnya anak-anak yang lain turut menelefon dan memberi kata-kata perangsang agar tidak putus asa dan membuat yang terbaik semasa ujian.

Berita gembira kejayaan Fatimah mendapat lesen memandu hari ini turut dikongsi anggota keluargnya menerusi aplikasi WhatsApp.

Fatimah turut mengucapkan kepada pihak JPJ yang banyak membantunya semasa menjalani ujian memandu dan pengajarnya Roslan Mansur, 60, yang tidak pernah jemu mengajarnya sehingga berjaya mendapatkan lesen memandu.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com