Nelayan Thailand Ceroboh Perairan Negara Ditahan Di Pantai Kuala Sanglang


ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot nelayan di perairan pantai Kuala Sanglang, Kedah selepas dipercayai menangkap ikan di luar zon dibenarkan, malam kelmarin.

Menurut Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Osman, empat awak-awak termasuk dua warga Thailand dan seorang tekong berusia antara 24 hingga 45 tahun ditahan pada jam 10.15 malam.

Ujarnya, ketika kejadian, APMM menjalankan rondaan rutin sebelum terserempak sebuah bot jenis vesel pukat tunda kelas (C) sedang menangkap ikan.

"Mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, melanggar syarat lesen, iaitu vesel terbabit dilesenkan untuk menangkap ikan di kawasan Zon (C) 12 batu ke atas.

"Bagaimanapun, bot itu menangkap ikan di bawah lima batu nautika daripada pantai iaitu jarak kurang 2.4 batu nautika dari pantai Kuala Sanglang, Kedah," katanya dalam kenyataan yang dipetik dari BH Online.

Sejurus itu, bot tersebut kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, APMM komited untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Beliau turut menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negeri ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com