"Nak Minum Sampai Pecah Perut Pun Silalah,Tapi..."


"MEREKA (yang bukan Islam) nak minum (arak)  sampai pecah perut pun silalah..., tetapi apabila mereka minum arak untuk tunjuk kesombongan dan kemegahan hingga mengganggu  ketenteraman awam dan menyebabkan kemalangan, kita perlu ambil tindakan," kata Presiden PAS.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ketika PAS menghormati budaya orang bukan Islam yang bebas untuk minum arak, parti itu tidak boleh berdiam diri terhadap tindakan melampau yang tidak menghormati sensitiviti orang Islam.

Mengambil contoh pesta arak yang mahu dianjurkan di Selangor, Abdul Hadi  berkata kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang penganjuran pesta arak kerana ia membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam terutama masyarakat Islam.

"Apabila sebut pesta arak, ia sudah jadi lain. Ini sudah melampau dan mereka langsung tiada sensitiviti terhadap masyarakat Islam," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, di sini, malam semalam.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum ini mengumumkan ia membenarkan pesta makanan dan minuman Jerman yang turut membabitkan minuman keras dengan alasan penganjur sudah mematuhi syarat dikenakan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak boleh bekerjasama dalam perkara kemungkaran termasuk dalam membiarkan pesta arak berkenaan diadakan.

"Perkara yang baik kita boleh bagi kerjasama, (tetapi) perkara yang tidak baik kita perlu beri amaran. Ini adalah contoh istiqamah kita.

"Kita tunggu apa tindakan Kerajaan Pusat dan kita tunggu apa langkah dan tindakan kerajaan Selangor," katanya. 

Sebelum ini polis telah memberi amarah tidak akan memberikan kelulusan terhadap penganjuran pesta minum arak itu atas faktor keselamatan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com