Nak Kahwini Datuk Vida, Kena Pikat Anak Dulu


PETALING JAYA - Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman mengakui ada insan yang dekat dengan dirinya telah meluahkan isi hati kepadanya.

"Ya, memang ada yang luah isi hati terhadap saya. Orang itu boleh dikatakan dekat dengan diri saya. Tapi bagi saya ia perkara biasa kerana ramai yang pernah curah perasaan cinta terhadap saya," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, jutawan kosmetik itu berkata, hatinya masih belum terbuka untuk menerima individu tersebut buat masa ini.

"Tidak dinafikan saya mahukan seseorang lelaki yang boleh menjaga dan memberikan kasih sayang kepada saya dan juga anak-anak. Namun buat masa ini belum jumpa lagi yang betul-betul istimewa," katanya.

Malah, Hasmiza atau lebih mesra disapa sebagai Datuk Seri Vida berkata, keutamaan akan diberikan kepada jejaka yang mampu memenangi hati dua anaknya, Edlynn Zamileen Muhammad Amin (Cik B) dan Muhammad Eric Zacquan (Kacak).

"Cik B dan Kacak perlu diberi perhatian. Mereka masih lagi trauma dengan kisah kahwin cerai saya. Ia amat memberi tekanan emosi kepada mereka.

"Mereka mengharapkan kasih sayang seorang bapa tapi apabila mereka dah mula suka dan sayang, perkahwinan ini berakhir dengan penceraian," katanya.

Vida pada masa sama berkata beliau perlu mengambil kira perasaan ahli keluarganya apabila menyentuh soal jodoh.

"Saya kena jaga juga hati dan perasaan Mak Jah (kakak) kerana dia pun tahu keperitan yang saya lalui sebelum ini.

"Dia yang saya anggap seperti ibu sendiri turut bimbang andai ada individu yang cuba mendampingi saya sekadar mahukan kemewahan semata-mata," katanya.

Ditanya mengenai spekulasi beliau sedang menjalin hubungan cinta dengan pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, Vida menafikan perkara tersebut.

"Tak benar. Hubungan kami sekadar majikan dan pekerja, tidak lebih dari itu," katanya.

Namun, usahawan berusia 46 tahun itu mengakui beliau selesa dan mudah bekerja dengan jejaka kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.

"Dia sudah tahu kerja yang perlu dibuat. Saya tak perlu beri arahan. Dia tahu apa yang saya nak," katanya.

Ketika ditanya andai dipertemukan semula jodoh dengan lelaki yang lebih muda, Vida berkata beliau akur dengan ketentuan Allah.

"Saya tak kisah andai jodoh itu yang terbaik untuk saya dan juga anak-anak. Paling penting anak-anak saya bersetuju dengan pilihan tersebut," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com