Naelofar Hijab Kuasai 38 Negara


MENERUSI daya keusahawanan dan pemikiran luar biasa, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berjaya menempa pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Neelofa yang juga Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd tidak gentar menghadapi kegagalan, malahan terus melangkah sehingga meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri dan memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Neelofa, 28, bukan sahaja terkenal dengan fenomena hijab melalui jenamanya, Naelofar Hijab, beliau sendiri memiliki beberapa rangkaian perniagaan yang melibatkan fesyen dan produk kecantikan.

"Saya mahu fokus kepada perniagaan yang saya jalankan. Saya juga seperti orang lain tidak terlepas berdepan pelbagai cabaran dalam perniagaan, apa yang penting saya fokus kepada perniagaan tudung yang dijalankan sejak 2014.

"Jatuh dan bangun serta salah percaturan dalam menjalankan perniagaan pada dua tahun awal adalah proses pembelajaran. Kami mengambil pengajaran daripada kesilapan tersebut dan melakukan penambahbaikan, tahun ketiga, saya mengembangkan perniagaan tersebut dan alhamdulillah melihat pertumbuhan perniagaan yang dicapai," katanya.

Beliau berkata, sekarang perniagaannya bukan sahaja bertapak di Malaysia, malahan berkembang pesat di 38 negara antaranya Perancis, Jepun, United Kingdom, Eropah, Afrika, Emiriyah Arab Bersatu dan Norway.

Setakat ini, Neelofa adalah pemilik kepada beberapa rangkaian perniagaan dan Naelofar Hijab merupakan perniagaan utama yang menyumbang kepada keuntungan syarikat.
Keluarga dorong minat berniaga  

Neelofa mengakui, latar belakang keluarga yang menjalankan perniagaan mendorongnya untuk berusaha dan bekerja keras menjadi usahawan yang berjaya.

"Sejak kecil, saya mengikuti emak yang juga berniaga. Saya juga boleh buat perkara yang sama. Kini kami berada di bawah satu bumbung dan bersama-sama memajukan perniagaan.

"Idea yang kreatif menghasilkan pelbagai rekaan tudung yang memenuhi cita rasa masyarakat tempatan dan antarabangsa memacu pertumbuhan perniagaan ini. Saya juga seperti orang lain yang tidak terlepas daripada menghadapi cabaran," katanya.

Menurutnya, lumrah dalam perniagaan, ada manusia yang suka menjatuhkan sesama sendiri. Akui sedih dan kecewa dengan situasi itu, beliau bagaimanapun tetap cekal menghadapinya dan terus berusaha untuk terus maju.

"Apabila mempunyai keikhlasan dan tidak putus semangat mendepani cabaran itu, saya hanya memandang ke hadapan. Biarlah mereka di belakang dan saya akan maju ke depan," katanya.

Hasratnya dalam menyuntik inspirasi kepada wanita untuk jadi lebih yakin dan berdikari terlaksana apabila Naelofar Hijab berkembang dengan memiliki 700 pengedar di seluruh dunia.

"Peluang itu secara tidak langsung menjadikan lebih bersemangat kepada pengedar di dalam menyediakan keperluan dan pendapatan yang stabil buat keluarga mereka," katanya.
Cetus fenomena hijab

Sebut sahaja Naelofar Hijab, pastinya kita terbayangkan hijab yang mudah dipakai, tidak memerlukan pin, malahan mudah dibentuk serta membantu pemakainya tampil menawan dan anggun.

Neelofa, bukan sahaja terkenal sebagai seorang selebriti, malahan beliau juga adalah ikon fesyen yang berjaya mencetuskan fenomena hijab sehingga berjaya melahirkan ramai usahawan tudung dan menempatkan dirinya di pentas antarabangsa.   
"Pada masa sama, saya ingin perniagaan ini terus berkembang dan kukuh sehingga berjaya menembus pasaran antarabangsa. Saya yakin dengan sokongan pelbagai pihak, Naelofar Hijab akan terus berkembang sebagai jenama yang menjadi fenomena di dalam dan luar negara," katanya.

Baru-baru ini, Neelofa juga mengharumkan nama negara apabila diberi penghormatan sebagai tetamu penting dalam majlis Swarovski Crystal Wonderland Party sempena Minggu Fesyen Milan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com