MTIB Patahkan Cubaan Seludup 133 Batang Kayu Balak Keruing RM500,000


KLANG - Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 133 batang kayu balak jenis keruing bernilai kira-kira RM500,000 melalui Pelabuhan Barat di sini.

Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr. Jalaluddin Harun berkata, aktiviti penyeludupan itu mula dikesan sejak 27 Julai lalu menerusi sembilan permohonan permit eksport daripada sebuah syarikat pembekal dalam talian dari negeri Pahang.

"Kita berjaya merampas 10 kontena berisi kayu tersebut pada pukul 11 malam 22 Ogos lalu yang diisytihar sebagai kayu gergaji," katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Ujarnya, hasil semakan mendapati pengisytiharan ke atas semua kayu itu menimbulkan keraguan kerana syarikat tersebut merupakan pembekal papan lapis.

"Ia merupakan rampasan terbesar pada tahun ini dan kesemua kayu itu sepatutnya dieksport ke India," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Akta 105 MTIB (Pemerbadanan) 1975 yang memperuntukkan penjara sehingga 3 tahun dan denda maksimum RM250,000.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com