Misbun Optimis Kembali Prestasi Chong Wei


SEREMBAN - Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek yakin akan dapat membantu menggilap kembali prestasi pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ke tahap terbaik.

Katanya, Chong Wei mempunyai keinginan yang tinggi untuk bermain di pentas antarabangsa, namun untuk berlatih seperti pemain muda lain adalah sukar baginya kerana faktor usia.

"Chong Wei hanya perlu kekalkan prestasi dan persembahannya serta tidak perlu terlalu ikut dengan corak latihan pemain muda lain.

"Bagaimanapun, saya yakin Chong Wei masih dapat bertahan dan mengekalkan prestasinya.

"Namun saya memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan semula pencapaiannya kerana baharu saja bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kira-kira tiga bulan.

"Saya akan terus membantu Chong Wei pada kejohanan akan datang dengan menerapkan latihan yang bersesuaian dengan usia Chong Wei," katanya ketika ditemui selepas Kem Bakat Badminton Peringkat Negeri Sembilan 2017, di Kompleks Sukan Datuk Haji Mohd Said Seremban 2, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) dengan kerjasama Kelab Nusa Mahsuri disertai seramai 100 peserta berusia antara 8 hingga 12 tahun.

Yang turut hadir, Pengarah JBSNS, Azura Sarbin dan lagenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.

Menurut Misbun, umur Chong Wei sudah meningkat dan berlaku perubahan membabitkan kepantasan serta serangan ketika permainan.

"Chong Wei sendiri sedar mengenai perkara ini dan kita akan perbaiki daripada semasa ke semasa sehingga dia mencapai tahap prestasi terbaik," katanya.

Mengulas mengenai usahanya melahirkan pemain muda lain setaraf Chong Wei, beliau berkata, pihaknya memerlukan tempoh empat tahun untuk merealisasikan sasaran itu.

Misbun bagaimanapun berkata ia memerlukan satu sistem latihan baru yang sistematik dan lebih berkesan.

"Badminton tidak seperti sukan lain di mana ia berkaitan dengan bentuk fizikal dan struktur pemain, yang boleh mempengaruhi sesuatu persembahan. "

"Tambahan pula dengan sistem 21 mata di mana dengan melakukan sedikit kesilapan, boleh menyebabkan pemain termasuk berstatus bintang dunia tewas di gelanggang.

"Justeru, kita perlu merombak sistem latihan yang lebih baik dan mantap dengan satu modul latihan yang lebih komprehensif bagi melatih pemain muda seawal usia 16 hingga 18 tahun.

"Chong Wei dulu pun memerlukan tempoh lima tahun untuk berada di pentas dunia," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com