Menteri Besar Perak Bantu Penunggang Motosikal Cedera Dalam Kemalangan


IPOH - Keprihatinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir terhadap rakyat negeri itu sekali lagi terserlah apabila dia sanggup menolong seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggang lelaki itu terbabas di sebatang jalan di Pusing, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.15 petang itu, Zambry ketika itu dalam perjalanan ke Beruas, Seri Manjung untuk menghadiri program Pemukiman Menteri Besar yang diadakan selama lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

Difahamkan, Menteri Besar itu turun dari kereta untuk menolong mangsa yang berusia 20-an dengan menenangkannya sebelum memapah mangsa untuk masuk ke dalam ambulans.

Ambulans tersebut pada waktu tersebut sedang dalam perjalanan membawa seorang pesakit ke Hospital Seri Manjung sebelum berhenti dan membawa mangsa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam menolong mangsa sebelum kembali meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Zambry di dalam laman sosial Facebook miliknya memuji tindakan orang ramai dan kakitangan perubatan di dalam ambulans.

"Saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai serta ambulans (pihak perubatan) yang prihatin membantu mangsa kemalangan dengan kadar segera.

"Anda semua adalah contoh rakyat yang baik, prihatin dan sukakan kasih sayang," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut namun tiada sebarang laporan dibuat oleh mangsa. 

Sumber: Kosmo Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com