Mengaku Gagal, Zairil Khir Johari Letak Jawatan Presiden FAP


ALOR SETAR - Mungkin tidak tahan dikritik hebat peminat dan kegagalan meningkatkan kedudukan pasukan bola sepak negeri, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari dilapor meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta merta, semalam.

Pemimpin DAP itu memikul tanggungjawab sebagai pengurus pasukan, merupakan presiden FAP yang kedua meletak jawatan tahun ini selepas Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff mengundur diri pada awal Januari lepas.

"Harapan Pulau Pinang untuk kekal di Liga Super sudah pun pupus dan saya selaku Presiden FAP mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dengan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta," katanya memetik laporan Bernama.

Menjelang penutupan tirai musim Liga Malaysia 2017, Pulau Pinang hanya mampu mengumpul 12 mata daripada 21 pelawanan dan kini menduduki tangga tercorot liga dengan baki satu perlawanan.

Walau bagaimanapun, Zairil yang sebelum ini dikritik hebat berkata pasukan pengurusan telah melakukan yang terdaya dan yang terbaik untuk pasukan Harimau Kumbang namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Awalnya, kami membawa masuk jurulatih asing yang mempunyai rekod cemerlang dan kemudiannya apabila tidak membuahkan hasil, menukarkan strategi dengan menggantikan beliau dengan lagenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan tetapi keputusannya masih sama," katanya lagi.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut sempat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan warga FAP di setiap peringkat termasuk Piala Presiden dan Piala Belia, serta kerajaan negeri atas sokongan dana yang amat penting selama ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com