Mata Air Punca Tanah Runtuh Di Kota Kuala Muda


ALOR SETAR - Aliran mata air dikatakan menjadi punca kepada berlakunya kejadian tanah runtuh di Kampung Pantai Merdeka di Kota Kuala Muda, malam semalam.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Md Nordin Yahya berkata, kejadian yang berlaku pada jam 8 malam itu turut didorong oleh hujan lebat dikawasan berkenaan hingga mengakibatkan empat rumah di kaki bukit terjejas.

“Pihak kami juga difahamkan, dalam kejadian berkenaan, reban ayam milik salah sebuah keluarga terkambus akibat runtuhan tanah bukit.

"Salah sebuah rumah di situ turut dalam keadaan berisiko tinggi terlibat dalam tanah runtuh jika hujan berterusan,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapat bahawa terdapat jirat cina di bahagian atas bukit yang turut menjadi penyebab berlakunya aliran mata air mengalir keluar.

“Bagaimanapun, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda sudah turun padang dan membuat lawatan.

"Mereka turut menghulurkan sumbangan kemanusiaan Barakah dan juga wang ihsan kepada keluarga mangsa terbabit melalui penghulu Mukim Bukit Meriam,” katanya lagi.

Sementara itu, Md Nordin turut menasihati penduduk yang berkemungkinan terjejas agar segera  berpindah ke tempat lebih selamat kerana kawasan penempatan mereka diisytiharkan tidak selamat diduduki.

“Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana masih ada pergerakan tanah seroi masih aktif berlaku dalam pergerakan perlahan.

“Antara agensi yang terlibat Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Pejabat Adun Pantai Merdeka dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK),”  ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com