Masjid Jadi Laluan Babi Hutan Dan Haiwan Liar, Penduduk Rayu Naik Taraf Masjid Al-Huda


ALOR SETAR - Masjid Al-Huda di Kampung Lubuk Tualang, Sik, yang tidak berpagar sering menjadi tempat lintasan babi hutan serta haiwan liar kerana disebabkan lokasinya berhampiran kebun getah dan hutan cetus kebimbangan penduduk.

Oleh itu, penduduk kampung di sini merayu agar prasarana Masjid Al-Huda dinaik taraf bagi membolehkan kariah setempat menjalankan ibadah dengan lebih selesa dan selamat.

“Banyak kekurangan dari segi kemudahan di masjid ini. Pihak kami tidak mempunyai dana yang cukup untuk menyediakan kemudahan seperti bilik air, stor, ruang masak dan memasang pagar di Masjid Al-Huda ini.

“Kami mengharapkan peruntukan daripada kerajaan mahupun pihak jabatan agama bagi membolehkan prasarana di masjid ini dapat dinaik taraf bagi keselesaan jemaah yang mengerjakan ibadah,” ujar Pembantu Imam Masjid Al-Huda, Wahid Man,58.

Menurut Wahid Man, pihaknya berharap kerajaan mahupun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dapat memberikan peruntukan bagi membolehkan prasarana di masjid tersebut dinaik taraf.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menaik taraf masjid berkenaan.

Mohd. Tajudin berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi membolehkan masjid tersebut dinaik taraf demi ke­selesaan ahli jemaah di Kampung Lubuk Tualang.

“Saya akan cuba mendapatkan dana yang diperlukan bagi melengkapkan segala kemudahan seperti yang diminta ahli kariah masjid ini,” katanya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com