Masalah Utama Adalah Mentaliti Pemain


“SAYA tak rasa prestasi pasukan ini (pasukan kebangsaan) akan berubah. Jika menang satu bonus,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan ahli panel dalam sesi soal jawab di JDT Cafe di sini, malam semalam.

Tunku Ismail berkata, banyak perubahan yang perlu dilakukan dan akan memberi tumpuan kepada pemain pelapis selepas ini.

Katanya, adalah sukar untuk memberi rangsangan kepada pemain senior yang sudah mengecapi pelbagai kejayaan dalam karier dan ia adalah faktor kehidupan.

"Masalah utama adalah mentaliti pemain. Jika dilihat pemain Singapura mahu beraksi di Eropah, Jepun supaya mereka boleh pulang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pasukan kebangsaan.

"Bagaimanapun, apabila ditanya pemain Malaysia mereka hanya menjawab mahu memenangi Piala Malaysia.

"Di sini, kita dapat lihat mentaliti pemain dan ia bukan salah mereka, sebaliknya struktur persatuan bola sepak negeri dan FAM sendiri, itu sebabnya kita perlu berubah," katanya.

Sesi soal jawab disertai ahli panel jemputan termasuk Abu Bakar Atan, Tabah Syazwan dari Media Prima Berhad, Vijhay Vick dari FourFourTwo dan Ooi Kin Fai dari Foal.com yang mewakili penyokong bola sepak tempatan.

Baginda berkata, sudah tiba masanya beliau merapatkan jurang dengan pengurusan pasukan kebangsaan.

"Sebelum ini saya banyak memberi ruang kepada organisasi kebangsaan memilih pemain dan membuat keputusan.

"Ramai tidak sedar banyak masalah FAM dan saya berusaha melakukan perubahan serta asas yang betul.

"Selepas ini saya yakin, siapa pun menjadi Presiden FAM jalan dilaluinya lebih mudah kerana mempunyai asas yang betul," katanya.

Menurutnya, buat masa ini sasaran adalah menjuarai Piala Suzuki sebelum menetapkan sasaran lain.

Bagaimanapun, katanya, sasaran itu mestilah realistik.

"Saya tidak menyalahkan Safiq Rahim kerana mendapat kad merah (dalam perlawanan menentang Hong Kong).

"Bukan dia seorang perlu dipersalahkan tetapi semua.

"Harapan kita tidak berapa tinggi ketika itu, bermain dengan 10 pemain apa kita boleh buat," katanya mengulas kekalahan 0-2 pasukan kebangsaan kepada Hong Kong pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019, semalam.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com