Mangsa Tipu Expo Kerjaya Di Alor Setar Sila Tampil Buat Aduan - PPIM


ALOR SETAR- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), menggesa orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjuran Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di sini tempoh hari tampil membuat aduan bagi membolehkan tindakan susulan diambil terhadap pihak terlibat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai insiden tersebut.

"Setakat ini tak ada (aduan)... tapi kes lain memang banyak. Mungkin isu ini berlaku di utara, belum sampai lagi ke sini.

"Sudah tentu kita mengalu-alukan aduan seperti ini. PPIM sedia membantu. Kita harap sesiapa yang ada maklumat atau mereka yang menjadi mangsa tampil buat aduan kepada kita," katanya yang dipetik dari Mstar Online.


Menurut beliau, orang ramai boleh menyatakan aduan menerusi pautan yang disediakan di laman web www.ppim.org.my.

"Sekarang nak buat aduan pun senang, orang ramai boleh buat secara dalam talian. InsyaAllah kita akan cuba bantu selepas meneliti aduan tersebut," ujarnya.

Malah, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan supaya menyemak latar belakang syarikat penganjur yang terlibat terlebih dahulu sebelum meluluskan permit penganjuran karnival atau ekpo.

"Mereka tak boleh ambil mudah kerana zaman sekarang kes penipuan terlalu dahsyat. Kita hari-hari dapat aduan kes penipuan yang kita lihat semakin menjadi-jadi. Penipu pula mengambil kesempatan atas kejahilan pengguna.

"Jadi saya rasa pihak berkuasa tidak boleh sekadar bertindak dengan hanya tunggu aduan semata-mata. Mereka kena lebih waspada sebelum meluluskan sesuatu permit," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata pihak berkuasa perlu mewujudkan kaedah baharu dalam menangani gelaja penipuan yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

"Kita kena ada kaedah baharu... tak boleh ditakuk yang lama. Pihak berkuasa kena lebih agresif dan kementerian berkaitan perlu memantau, bukan sekadar bertindak apabila menerima aduan," katanya.

Terdahulu, netizen menyarankan agar PPIM campur tangan dalam permasalahan terbabit.




Kebanyakan graduan yang hadir, mendakwa mereka ditipu penganjur expo kerjaya yang menawarkan lebih 5,000 jawatan dari syarikat terkemuka negara itu yang berlangsung selama dua hari di Alor Setar, Kedah.

Seterusnya menjadi tular di laman sosial facebook selepas seorang gadis mendedahkan pengalamannya umpama indah khabar dari rupa semasa menghadiri ekpo berkenaan.

Gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Awin mendakwa kunjungannya ke expo itu sebenarnya sesuatu yang sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan.

Akibat dikecam hebat netizen, Jobsifu.com Malaysia selaku penganjur ekpo tersebut menutup laman Facebooknya sehingga kini.

Malah lebih teruk, laman Facebook itu turut ditukar nama kepada Cuti Cuti Malaysia. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com