Malaysia Bertemu Korea Utara Di Thailand


KUALA LUMPUR – Malaysia akan menentang Korea Utara dalam perlawanan kelayakan bagi Kumpulan B Piala Asia 2019 akan berlangsung di Thailand pada 10 dan 13 Nov.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Paul Windsor John berkata konfederasi itu amat bersyukur di atas sokongan berterusan daripada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) yang bersetuju menjadi tuan rumah bagi dua aksi ini.

“FAT telah memastikan bahawa AFC mampu mengekalkan integriti sukan pada aksi kempen Kelayakan Piala Asia AFC,” katanya yang dipetik dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, aksi pertama akan berlangsung pada 10 Nov ini, iaitu perlawanan di ‘tempat sendiri’ bagi Korea Utara dan perlawanan kedua pada 13 Nov, merupakan aksi di ‘laman sendiri’ bagi Malaysia.

Bagaimanapun, venue dua aksi itu dan masa perlawanan akan diumumkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Perlawanan itu pada mulanya dijadualkan pada 28 Mac di Pyongyang dan ia ditangguhkan ke 8 Jun, berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia, selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di klia2 pada 13 Feb.

Perlawanan itu sekali lagi ditunda ke 5 Okt, hanya lima hari sebelum aksi menentang Hong Kong pada 10 Okt.

Malaysia membuka kempen kelayakan Piala Asia 2019 dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin, sebelum mengikat Hong Kong dengan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat pada 5 Sept lepas.

Kemudian tewas 0-2 kepada Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Okt lalu. Pasukan negara kini berada di tangga terbawah Kumpulan B dengan satu mata, sementara Lubnan di tangga teratas dengan 10 mata. Diikuti Hong Kong dan Korea Utara yang masing-masing mengumpul lima dan dua mata.

Berbaki tiga perlawanan, Malaysia perlu menamatkan kempennya sebagai pasukan kedua teratas dalam Kumpulan B untuk layak ke Piala Asia 2019.

Kejohanan tersebut bakal berlangsung di Emiriah Arab Bersatu dari 5 Jan hingga 1 Feb 2019. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com