Majlis Pertunangan Sufian, Elfira Macam Kahwin Dikecam Netizen


KUALA LUMPUR - Majlis pertunangan pasangan selebriti, Sufian Suhaimi dan Elfira Loy pada Jumaat lalu yang dilihat cukup gah umpama acara perkahwinan, mengundang kecaman netizen.

Bukan sekadar mendapat tajaan beberapa pihak, malah majlis di kediaman keluarga pelakon wanita itu di sini, turut menyaksikan mereka mengenakan dua pasang pakaian, selain bersanding di atas pelamin yang berhias cantik.

Sufian yang dihubungi BH Online hari ini bagaimanapun enggan melatah dengan pandangan negatif dan kritikan orang ramai terhadap majlis cukup bermakna buat dirinya dan Elfira itu.

"Mengikut perancangan awal, kami memang mahu mengadakan majlis bertunang secara kecil-kecilan, dengan hanya membabitkan insan terdekat seperti keluarga masing-masing.

"Bagaimanapun, Elfira sudah lama berada di pentas seni, jadi ramai juga kenalan rapatnya termasuk artis dan rakan media dijemput. Justeru, liputan yang diterima cukup meluas.

"Majlis itu sendiri kelihatan gah dan meriah apabila ada banyak pihak sudi bekerjasama. Acara itu akhirnya menjadi lebih besar daripada apa yang dirancang," kata penyanyi yang baru muncul dengan single Terasa Ada itu.


"Saya ke rumah Elfira pun selepas majlis pertunangan selesai. Ketika acara bertunang juga, tiada liputan media kerana mereka cuma diundang selepas selesai majlis sebenar.

"Jadi, apabila saya datang kemudian berada di situ, banyak gambar kami berdua yang diambil dan dikongsi oleh pihak media serta tetamu lain," katanya.

Pasangan berkenaan bertunang selepas hampir lapan bulan menjalin hubungan cinta.

Pada majlis dihadiri sekitar 100 tetamu itu, Elfira turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sufian sebagai simbolik termeterainya ikatan pertunangan mereka.

Pasangan terbabit dijangka berkahwin pada Mac depan.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com