Mahu Saman RM2.5 Juta Kerana Kucing Mati


SYARIKAT Imadi Pet Global Sdn Bhd akan menyaman pasangan suami isteri yang juga pelanggannya sebanyak RM2.5 juta di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam, Selangor, kerana mendakwa video klip ditularkan pasangan berkenaan di media sosial, awal Ogos lalu, menyebabkan kesulitan, kerugian serta menjejaskan perniagaan mereka.

Pengasasnya Ismail Mohd Ali berkata, pihaknya terpaksa berdepan pelbagai kesulitan akibat video yang tular itu, termasuk diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kerana kes difail pasangan berkenaan.

“Bagaimanapun, pada 19 September lalu TTPM memutuskan tuntutan pasangan berkenaan berjumlah RM20,000 ditolak. Keputusan TTPM membuktikan tuntutan pasangan itu terhadap kematian kucing yang dibeli daripada kami, tidak berasas.

“Ia sedikit-sebanyak dapat membaiki imej Imadi yang tercalar kerana sesetengah pengguna laman sosial sebelum ini, mudah percaya dengan dakwaan pembeli itu selain berkongsi bahan berkenaan.

“Berikutan itu, kami mengambil keputusan akan memfailkan saman RM2.5 juta di Mahkamah Sivil Shah Alam," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Pertama dan Rumah Terbuka Persatuan Pencinta Kucing Imadi Pet Malaysia (PPKIM) di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, hari ini.

Hadir sama, Presiden PPKIM, Puan Seri Suhaila Abdullah.

Ismail berkata, sebagai pembiak dan penjual kucing, Imadi telus dengan syarat dan peraturan setiap urusan jual belinya.

Menurutnya, mengikut syarat International Breeders, apabila kucing dibeli pelanggan, pihaknya hanya akan bertanggungjawab dalam tempoh 72 jam.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com