Mahfuz Omar Sedia Bertanding Atas Tiket Pakatan Harapan?


ALOR SETAR - Datuk Mahfuz Omar menyerah kepada keputusan Pakatan Harapan sekiranya gabungan parti pembangkang yang dikuasai DAP itu mahu mencalonkan beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Malah Ahli Parlimen Pokok Sena yang menang pada PRU yang lalu atas tiket PAS itu secara terbuka mengisytihar dirinya menyokong Pakatan Harapan yang kini semakin kerap menghentam PAS.

"Terserah kepada Pakatan Harapan. Saya serah kepada Pakatan Harapan, kalau mereka merasakan memerlukan saya dan terpulang kepada mereka.

"Saya tetap menyokong Pakatan Harapan sehingga sekarang ini, ke depan (sokong parti apa) semua itu dalam ilmu Allah," katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan sebuah portal berita.

Walau bagaimanapun, Mahfuz menyedari hakikat bahawa dia masih lagi merupakan Ahli Parlimen PAS ekoran kemenangannya di Parlimen Pokok Sena adalah di atas tiket parti tersebut.

Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengesahkan bahawa dirinya masih lagi merupakan ahli PAS yang sah meskipun tegar menyokong Pakatan Harapan.

Beliau turut menegaskan keyakinannya bahawa hanya Pakatan Harapan sahaja yang mampu menewaskan UMNO pada PRU ke-14, sekaligus menafikan keyakinan PAS untuk mengalahkan parti pemerintah itu.

"Tetapi hingga kini saya masih ahli PAS dan Ahli Parlimen yang memenangi atas tiket PAS yang menyokong Pakatan Harapan kerana saya tidak melihat bahawa selain daripada kerjasama politik Pakatan Harapan ini mampu untuk mengalahkan UMNO," ujarnya.

Mengulas sama ada bakal terpilih sebagai calon atau tidak pada PRU kali ini, Mahfuz mendakwa dirinya tidak kisah mengenai hal tersebut.

"Itu (bertanding PRU) tidak penting bagi saya, tidak menjadi masalah kepada saya kalau tak jadi wakil rakyat..." katanya lagi.

Pada PRU ke-13 yang lalu, Mahfuz yang bertanding atas tiket PAS telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dengan 34,657 undi dan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.

Kedudukan Mahfuz sama ada bakal dipilih sebagai calon oleh PAS terus menjadi tandatanya di kalangan rakyat khususnya di Pokok Sena, namun desas-desus mengatakan beliau bakal bertanding di atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Parti Amanah Negara (PAN) pada PRU ke-14 nanti. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com