Mahdzir Khalid, Ahmad Bashah Bersatu Pertahan Kedah Pada PRU14


ALOR SETAR - Pilihan Raya Umum 2008  adalah cukup 'malang' buat Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Beliau hanya kira-kira tiga tahun berada di kerusi Menteri Besar Kedah.

Pada PRU 1999, walaupun beliau tidak bertanding di  Parlimen Padang Terap, kawasan itu  kalah kepada PAS. Sekalipun PAS menang 8 kerusi Parlimen berbanding 7 kerusi oleh BN,  Kedah masih dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga.

Beliau pada mulanya bertanding di kawasan DUN Pedu dan dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

Apabila Syed Razak sakit, Mahdzir dilantik mengetuai pentadbiran negeri semasa kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada 2005.

Pada PRU 2008, beliau mempertahankan DUN Pedu, namun terpaksa menjadi ketua pembangkang setelah Kedah jatuh kepada Pakatan Rakyat yang diterajui PAS.

Itu sejarah kali pertama BN Kedah jatuh kepada pembangkang, iaitu  pada masa beliau menjadi Menteri Besar.

Mahdzir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempunyai hampir  persamaan dalam mendaki tangga ke Wisma Darulaman. Kedua-dua mereka tidak terus dilantik Menteri Besar selepas PRU, sebaliknya peralihan kuasa berlaku selepas dua dan tiga tahun kemudian atas beberapa faktor.

Antara sebab Kedah tumbang pada PRU12,  adalah   masalah dalaman UMNO sendiri selain 'tsunami' pengundi yang beralih kepada pakatan pembangkang - PAS, DAP dan PKR.

Pulau Pinang, Selangor dan Perak tumbang kepada pembangkang pada PRU 2008, namun Perak dapat 'diselamatkan' selepas beberapa ADUN pembangkang 'berpaling' untuk menjadi wakil bebas dan menyokong BN. 

BN kembali kembali menawan  Kedah pada PRU13 selepas rakyat menyedari negeri Jelapang Padi ini  perlu dikembalikan semula kepada pemerintah asalnya. PRU itu diterajui oleh Ahmad Bashah selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri berdasarkan seniorti beliau dalam parti sekalipun Datuk Seri Mukhriz Mahathir diangkat sebagai Menteri Besar.

Mahdzir dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan kelmarin berkata, hari ini Dr. Mahathir tidak lagi bersama UMNO, parti keramat yang melalui sejarah panjang.

Katanya dari segi pilihan raya, UMNO hanya pernah kalah teruk sekali sahaja disebabkan faktor individu iaitu pada 1999 apabila timbul isu 'mata lebam ' Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun BN masih menjadi kerajaan dan memerintah walaupun berdepan dengan Anwar yang disingkiran oleh Dr. Mahathir.  Anwar membentukan pakatan pembangkang dengan mendapat sokongan serta 'simpati' daripada parti  DAP dan PAS.

Akibat isu Anwar itu, Padang Terap yang tidak ada kena mengena, pun turut kalah.

" Kali ini, (PRU14) datang pula Dr. Mahathir tetapi beliau tiada elemen dramatis, berbeza dengan Anwar.'' kata Mahdzir lagi .

Mahdzir bagaimanapun tidak pasti sama  Dr. Mahathir mahu  bertanding atau tidak tetapi beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa ahli UMNO tidak akan mengkhianati parti kali ini walaupun kehadiran  parti baharu pimpinan bekas Perdana Menteri yang berusia 93 tahun itu.

Kini sudah dua tahun lebih Dr. Mahathir yang bersekongkol dengan DAP mengasak Najib bagi menyingkirkan beliau  daripada jawatan Perdana Menteri.

" Saya ingat mereka sudah menggunakan semua kaedah hinggalah kepada soal peribadi dan 'menghasut' rakyat untuk membenci Perdana Menteri," kata Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Dua tahun lalu kumpulan itu yang mahu menurunkan Najib meminta supaya kalau boleh ada sedikit 'kecairan' atau kelonggaran dalam kalangan ahli UMNO untuk tidak menyokong Presiden.

Ketika itu terjadi perpecahan hingga  Dr. Mahathir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal  me­nubuhkan parti baharu dan bersepakat dengan DAP bagi melawan BN.

PRU14, Ahmad Bashah dan Mahdzir, dua watak penting di Kedah bukan sahaja akan berdepan dengan PAS, PKR dan PAN tetapi juga dengan bekas 'bos' mereka (Mahathir dan Mukhriz) yang mengepalai Pakatan Harapan bersama DAP. untuk menawan Kedah.

Kedua-dua mereka adalah 'komandan' untuk menyusun strategi perang bagi mempertahankan Kedah.

Mahdzir sebelum ini sering mengingatkan ahli UMNO supaya mengenang kembali kekalahan Kedah  pada PRU 2008. Beliau mahu kekalahan itu dijadikan pengajaran dan tiada lagi sifat balas dendam serta ungkapan "padan muka hang..." seperti yang terjadi selepas Kedah jatuh kepada PAS. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com