Mahathir Hanya Mahu Anak, Kroni Jadi "Juragan" Kemudi Negara - Harakahdaily


ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berusia mencecah 92 tahun disifatkan berkempen politik hanya semata-mata untuk kepentingan anak dan kroninya untuk menerajui negara.

Penulis laman media rasmi PAS, Wan Noordin Wan Yaacob mendakwa, 'selera besar' Mahathir hanya akan dapat dipenuhi sekiranya berjaya menjatuhkan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, meskipun beliau sendiri yang memilihnya sebagai Perdana Menteri.

"Kempen Mahathir hari ini tidak lain tidak hanya mahu anak dan kroninya harus menjadi 'juragan ulung' mengemudi negara ini sebaik Najib berjaya dijatuhkan nanti.

"Inilah selera besar Mahathir, walhal yang memilih Najib menaiki tahta pemerintahan sebelum ini adalah beliau sendiri," tulis beliau, memetik tulisannya di laman media rasmi PAS itu.

Wan Noordin dalam tulisannya itu turut mengingatkan bekas Perdana Menteri itu tentang skandal-skandal yang pernah berlaku di sepanjang 22 tahun pentadbirannya di negara ini.

Menurutnya, Mahathir juga yang ketika itu sebagai Presiden UMNO sering menjadikan musuh politiknya sebagai "mangsa", tanpa mengira sama ada dari dalam UMNO sendiri ataupun pembangkang.

"Perlu diingat, pada zaman pemerintahannya selama 22 tahun, pelbagai skandal berlaku termasuk Forex, Perwaja dan Bank Bumiputera selain siri memangsakan musuh politiknya tidak kira dalam Umno mahupun pembangkang," tulis wartawan senior tersebut.

Wan Noordin menegaskan bahawa rakyat di negara ini bagaikan sudah muak untuk mendengar "arahan" Mahathir.

Penulis itu juga mengingatkan bahawa Malaysia bukanlah hanya milik Pengerusi PPBM itu seorang sahaja, bahkan ia juga milik rakyat yang lebih sayang kepada keharmonian dan kesejahteraan yang wujud di negara ini.

"Cukup sudah rakyat mendengar arahan demi arahan Mahathir sejak sekian lama. Negara ini bukan milik Mahathir sahaja, negara ini milik rakyat yang sayangkan keharmonian, kesejahteraan," dakwanya membidas Mahathir.

Wan Noordin turut menyeru rakyat di negara ini supaya tidak lagi mempedulikan onar yang ditabur Mahathir, sebaliknya mendakwa momokan Pengerusi Pakatan Harapan itu hanya demi kepentingan peribadinya.

"Maka apa yang dibebelkan Mahathir tidak harus menjadi ratiban rakyat lagi, kerana semuanya hanya bersandar kepentingan diri beliau dan kroninya sahaja,

"Sementelahan pula cita-cita dan nafsu politik bekas PM itu tidak lebih sekadar 'menanti rebah' di penghujung masa," tulis Wan Noordin mengakhiri tulisannya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com