Lembah Klang, P.Pinang Jadi Zon Tumpuan Program Ramalan Dan Amaran Banjir


KUALA LUMPUR - Lembah Klang dan Pulau Pinang ketika ini dikenal pasti zon tumpuan pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) fasa kedua.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pihaknya mengusulkan permohonan peruntukan bajet RM560 juta bagi pelaksanaan PRAB fasa kedua.

Katanya, jumlah kelulusan permohonan peruntukan program itu akan diteliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pengumuman Bajet 2018, pada 27 Oktober ini.

"PRAB setakat ini dilaksanakan di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu yang berupaya memberi amaran dan ramalan banjir dengan aras ketepatan 90 peratus, dua hari sebelum kejadian," katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan Ke-30 (NGC2017), yang bertemakan 'Geosains untuk Kelestarian Masa depan', di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Shahar Effendi Abdullah Azizi; Pengerusi Lembaga Ahli Geologi Malaysia, Datuk Yunus Abdul Razak dan Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar.

Wan Junaidi berkata, pelaksanaan fasa kedua PRAB, merangkumi kawasan berisiko banjir lain itu dijangka diumumkan Januari tahun depan.

"Masalah kita sekarang adalah corak taburan hujan tidak mengikut data yang dikumpul sebelum 2014, justeru sukar untuk kerajaan mengenal pasti kawasan risiko banjir.

"Sehubungan itu, pemilihan kawasan pelaksanaan PRAB akan dinilai semula berdasarkan data taburan hujan selepas 2014 yang dijangka selesai dikumpulkan menjelang penghujung November ini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com