Lemas Di Sungai Muda Selepas Solat Jenazah


HANYA beberapa jam selepas menunaikan solat jenazah di kampung berhampiran, seorang pesara ditemui lemas selepas memukat ikan di Sungai Muda dekat Rumah Pam Bumbung Lima, Kepala Batas, 9.22 malam kelmarin.

Mangsa Jaafar Ahmad, 68, dikatakan keluar rumah untuk ke sungai berkenaan pada 12 tengah hari selepas urusan jenazah di kampung berhampiran selesai.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga 7 malam menyebabkan operasi mencari dijalankan.

Anak mangsa, Mohd Rosli, 31, berkata selalunya arwah menjala di sungai berkenaan tetapi semalam, arwah memasang pukat.

"Minggu lepas dia bercerita mengenai sejenis ikan bersaiz besar ditangkap penduduk sehingga menjadi viral.

"Saya tak pasti ikan apa, tetapi bapa beria-ia mahu mencuba nasib," katanya.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas diketuai Penguasa Bomba Kanan II Hafiz Ismail bergegas di tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 8.14 malam.

Jurucakap bomba berkata, mangsa ditemui dalam air kira-kira 15 meter dari tempatnya memukat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk dibedah siasat," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com