Lelaki Hanyut Ketika Cari Batu Untuk Pusara Ibu


KUALA KRAI - Hasrat seorang lelaki mencari batu sungai untuk diletakkan di pusara ibunya bertukar menjadi tragedi apabila dihanyutkan arus deras, petang semalam.

Mangsa, Zamri Abdullah, 44, dari Kesedar Sungai Terah, di sini, lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Kenerong, Dabong, pada jam 2 petang.

Mengikut sumber polis, mangsa bersama isteri, Nor Zalmawati Mat Not, 43, serta adiknya, Zamzuki, ke sungai itu bagi mencari batu sungai untuk diletak di kubur ibunya yang meninggal dunia tiga hari lalu.

Bagaimanapun, paras air sungai naik secara tiba-tiba menyebabkan mereka cuba menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, mangsa serta adiknya tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan arus deras.

Zamzuki berjaya menyelamatkan diri selepas tersangkut pada batu, manakala mangsa hilang dibawa arus.

Usaha mencari mangsa dilakukan oleh pihak polis serta penduduk kampung, namun mangsa masih gagal ditemui.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada jam 6 petang atas faktor cuaca dan keselamatan anggota.

Katanya, operasi mencari akan disambung pada jam 9 pagi hari ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com