Lelaki Di Pokok Sena Ini Mampu Halau Jin Dari Jauh


ALOR SETAR - Bukan sahaja mempunyai kepakaran dan ilmu dalam menghalau gangguan jin , malah Ahmad Ismail, 64, dari Kampung Kubang Mekki, Mukim Jabi juga mampu untuk menangkap jin dari jarak jauh melalui ayat al-Quran dan gelombang nafas.

Menurutnya, dia mula mempelajari perubatan Islam semasa tinggal di Shah Alam apabila berjumpa dengan seorang pakar perubatan Islam di Klang.

"Waktu itu saya belajar mengenai perubatan Islam dan tangkap jin pada 1985.

"Mulanya saya belajar untuk perlindungan keluarga saja tapi selepas diminta tolong oleh masyarakat setempat, saya terpaksa hulurkan bantuan," katanya.

Kebiasaannya Ahmad akan 'berbincang' dan mengarahkan jin untuk keluar dan tidak mengganggu pesakit.

"Tapi saya akan bincang dan menyampaikan dakwah dulu kepada jin itu supaya memeluk Islam sekiranya kafir.

"Jika jin itu enggan, saya akan arahkan dia keluar dari tubuh pesakit dan jika dia taknak juga, dia akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam bekas tertentu untuk dibuang jauh," katanya.

Tambahnya, dia akan menggunakan doa tertentu bagi menangani masalah menangkap jin dari jarah jauh.

"Selain berdoa dan guna ayat al-Quran, saya turut guna gelombang nafas untuk tangkap jin yang ganggu manusia.

"Dengan doa, saya tak perlu kekuatan fizikal atau perlu berada di sesuatu tempat. Saya cuma perlu ada di rumah. Dengan doa tertentu saya mampu tarik jin yang ganggu manusia datang kepada saya untuk ditangkap," katanya.

Menurutnya, dia pernah diminta mengubati seorang anak pelanggannya yang berada di Amerika yang sering sakit diganggu makhluk halus.

"Alhamdulillah dengan guna sekeping gambar pesakit dan dengan keizinan ALLAH, saya berjaya tangkap jin itu yang selalu ganggu pelajar berkenaan," katanya.

Ujarnya, jin yang telah ditangkap akan dimasukkan ke dalam botol dan akan dibuang jauh dari penempatan manusia seperti di laut, sungai, tasik dan hutan.

"Bayaran pula bergantung pada kes dan kemampuan pesakit agar tidak bebankan mereka" katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com