Lelaki Dari Pulau Pinang Didenda RM30,000 Kerana Aniaya 48 Ekor Tuntung


KANGAR - Seorang peniaga didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah menyimpan dan menzalimi 48 ekor tuntung, dalam sebuah kereta di Padang Besar pada September lalu.

Tertuduh, Lim Chuan Kim, 30 membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Hassan di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berasal dari Pulau Pinang itu didakwa menyimpan 48 ekor tuntung tidak matang tanpa permit khas di dalam sebuah kereta jenis Toyota Estima di stesen minyak di Padang Besar pada jam 1.45 petang pada 28 September lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM10,000 dan boleh dipenjara selama sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, pada lokasi dan masa sama, tertuduh didakwa menzalimi 48 ekor tuntung secara mengurung dan menempatkan haiwan berkenaan dalam 48 kotak lut sinar, dalam satu tong polisterina berwarna putih yang dibungkus dengan karung kain berwarna coklat.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 86(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM20,000 dan boleh dipenjara selama sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju t berwarna putih, memohon kepada mahkamah supaya hukumannya dikurungkan berikutan tidak mengetahui perbuatan terbabit adalah satu kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Shahruddin Othman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com