Lebih 30 Tokoh Wanita Terima Anugerah Pengiktirafan Kerajaan Negeri


ALOR SETAR - Golongan wanita di negeri Kedah diiktiraf memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negeri Kedah, serta memainkan peranan penting di dalam pelbagai sektor di peringkat negeri dan nasional.

Sentiasa memartabatkan kaum Hawa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah memandang tinggi dan amat menghargai penglibatan golongan berkenaan khususnya dalam memacu pembangunan serta mengharumkan nama negeri.

"Kedah tidak kurang sememangnya memiliki tokoh-tokoh wanita yang hebat-hebat, bukan saja di peringkat negeri malah di peringkat nasional dalam pelbagai bidang sehingga ada yang pernah menjadi menteri (kabinet).

"Dalam bidang keusahawanan pun ramai, tadi kita tampilkan ramai yang dulu berniaga kecil-kecilan namun hari ini mereka sudah berjaya, ada yang perkembang perniagaan hingga ke luar negara," katanya kepada Kedahnews.com sejurus majlis berakhir, semalam.


Ahmad Bashah yang telah lama berkhidmat untuk masyarakat dan negeri ini turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian dan sumbangan "kakak-kakak" beliau di negeri ini yang begitu hebat.

Kesanggupan tokoh-tokoh wanita untuk hadir ke malam anugerah semalam juga dihargai Menteri Besar itu, menandakan mereka amat menghargai pengiktirafan yang diberi oleh Kerajaan Negeri.

"Semangat dan kesetiaan mereka begitu kuat dan kental. Walaupun sudah berusia, mereka sanggup hadir malam ini. Ia adalah tanda kita saling menghargai antara satu sama lain," katanya terharu dengan "kakak-kakak"nya itu.

Ahmad Bashah semalam menyampaikan Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah kepada lebih 30 penerima yang terdiri dari tokoh-tokoh wanita negeri yang banyak menabur budi dan jasa sepanjang hayat dalam pelbagai bidang di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob atas inisiatif beliau menganjurkan majlis penganugerahan tersebut bagi menghargai segala pengorbanan wanita yang tiada tolok bandingnya.

Penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah buat julung-julung kalinya itu dianjurkan oleh Pejabat Exco Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri bersempena Hari Wanita yang juga berlangsung semalam.


Antara penerima anugerah penghargaan itu adalah Dato' Sepiah Isa (ekonomi), Datin Wira Ramizan Ibrahim (pembasmi kemiskinan), ASP Doreen Chee Choon Lee (keganasan terhadap wanita), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar (kesihatan), Dato' Azuyah Hassan (pendidikan dan latihan) dan Dato' Norsabrina Mohd Noor (sains dan teknologi).

Selain itu, turut menerima anugerah itu juga adalah Datuk Suraya Yaacob (pembuat keputusan), Dato' Munirah Abdullah Bajanuddin (mekanisma, jentera dan institusi pembangunan wanita), Normala Hamzah (media), Fadzilah Hassan (alam sekitar) dan Dato' Nafisah Abdullah (agama).

Dua atlit bola jaring yang mengharumkan nama negara, Nur Syazrin Mohamad Latif dan Izyan Syazana Wazir turut menerima anugerah bagi kategori sukan, Rizawati Mohamad@Ramli bagi kategori kepimpinan Puspanita dan Hasnah Md Hassan bagi kategori kesukarelawan.


Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Dato' Nor Azura Mohamed Zohdi semalam merupakan satu-satunya bukan anak Kedah yang diiktiraf sumbangannya dalam bidang perundangan dan turut terpilih menerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah.

Sementara itu, lebih 15 tokoh kepimpinan juga menerima anugerah wanita cemerlang yang membariskan Dato' Rokiah Hasim, Dato' Barishah Saad, Azizah Taib, Dato' Fatimah Ismail, Che Pora Omar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, Siti Maryam, Ummi Kalsum@Khamisah Ismail, Dato' Rokiah Zainuddin dan Datin Badariah Saidin.

Juga menerima pengiktirafan kepimpinan yang sama adalah Datin Aishah Nazim, Zaharah Hashim, Khalijah Arshad, Syatirah Lateh, Safiah Abdul Rahman dan Sofiah Baharom.

Boleh dikatakan hampir majoriti penerima anugerah semalam adalah golongan wanita veteran yang selama ini menabur bakti mereka ke arah pembangunan masyarakat dan kemajuan negeri selama berdekad-dekad sebelum ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com