Lebih 20,000 Kanak-Kanak Perempuan Dikahwinkan Secara Haram Di Seluruh Dunia Setiap Hari


LONDON - Sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak perempuan dikahwinkan secara haram di seluruh dunia setiap hari, di mana perkahwinan bawah umur selalunya berpunca daripada tradisi walaupun diharamkan kebanyakan negara, menurut analisis dikeluarkan hari ini.

Bank Dunia dan badan kebajikan global, Save the Children melaporkan kira-kira 7.5 juta kanak-kanak perempuan dikahwinkan setiap tahun di negara yang melarang amalan itu.

Menurut laporan itu, lebih satu perlima kes itu berlaku di Afrika Barat dan Tengah, di mana 1.7 juta perkahwinan bawah umur berlaku setiap tahun, kadar tertinggi di dunia.

Statistik itu menunjukkan cabaran dalam menguatkuasakan undang-undang melarang perkahwinan bawah umur kerana amalan itu biasanya berpunca daripada adat resam dan tradisi masyarakat.

“Undang-undang melarang amalan itu adalah langkah pertama yang penting. Tetapi, berjuta kanak-kanak perempuan berdepan risiko itu, melainkan perkahwinan bawah umur ditangani segera,” kata Helle Thorning-Schmidt yang mengetuai Save the Children dalam satu kenyataan.

“Kita perlu ubah sikap masyarakat untuk menghentikan amalan buruk ini.”

Perkahwinan bawah umur bukan sahaja menghalang kanak-kanak perempuan daripada mendapat pendidikan dan peluang lain, tetapi turut meningkatkan risiko kematian atau kecederaan ketika bersalin. Mereka juga lebih berisiko menjadi mangsa keganasan seksual atau rumah tangga.

Kemiskinan biasanya merupakan faktor perkahwinan bawah umur berlaku. Ibu bapa mungkin mengahwinkan anak perempuan mereka untuk mengurangkan tanggungan keluarga.

Sesetengah masyarakat juga menganggap perkahwinan bawah umur sebagai satu daripada cara melindungi anak perempuan mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

Jun lalu, Bank Dunia melaporkan pemberhentian perkahwinan bawah umur dapat mengurangkan pertambahan populasi, meningkatkan pencapaian pendidikan dan pendapatan wanita.

“Apabila perempuan berkahwin pada umur terlalu muda, peranannya bertukar menjadi isteri dan ibu. Beliau mungkin berhenti sekolah dan mengandung, serta menghadapi penderaan,” kata Thorning-Schmidt.

Menurut laporan itu, hampir 100 juta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia tidak dilindungi undang-undang yang melarang mereka daripada dikahwinkan.

Di seluruh dunia, 15 juta kanak-kanak perempuan dikahwinkan setiap tahun dan berjuta daripada mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com