Larian Zombie Tak Pesong Akidah


KANGAR - Program Zombie Run tidak menjurus kepada aktiviti yang boleh memesongkan akidah umat Islam, terutama penduduk Perlis kerana ia hanya sebuah tema larian yang menghiburkan dan berbentuk kecergasan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Khairin Nazry Karim berkata, beberapa gambar peserta berpakaian compang-camping dengan berlumuran darah yang tular mengundang persepsi salah sehingga dikecam netizen.

“Komen-komen negatif tentang larian ini mungkin kerana orang ramai salah faham mengenai konsep dibawa, sehingga netizen mendakwa perbuatan itu bertentangan dengan Islam dan membabitkan soal akidah,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, tema yang dipilih pada penganjuran kali pertama ini adalah untuk menggambarkan ‘Run For Your Life’, iaitu mengejar atau berlari kepada kehidupan dan kesihatan yang lebih baik.

“Saya tak sangka ia timbulkan masalah, kerana kita mahu membudayakan larian untuk kesihatan, bukannya perkara yang tidak elok. Temanya sahaja menghiburkan, tiada maksud tersirat,” katanya.

Khairin Nazry berkata, Perlis bukanlah negeri pertama yang menganjurkan larian bertemakan zombie, kerana beberapa negeri lain sudah melakukannya sejak 2013, antaranya Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

“Saya harap masyarakat tidak cepat menilai dan jatuhkan hukuman pada mana-mana pihak, lihatlah secara subjektif dan tidak memberi komen yang boleh beri kesan negatif. Mereka boleh rujuk kepada MPK jika keliru dengan konsep penganjuran berbanding kecam di laman sosial,” katanya.


Menurutnya, Zombie Run merupakan antara program disusun sempena Karnival MPK Dihati Rakyat bermula 6-8 Oktober.

“Pengisian lain termasuk majlis ilmu, sukaneka, pesta jualan serta program kesihatan dan kecergasan. Hebahan turut dilakukan menerusi laman web rasmi MPK dan Facebook, di mana mencapai sasaran 1,000 peserta,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian program meliputi semua lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, warga emas, remaja, serta belia.

“Berdasarkan maklum balas peserta dan orang ramai, mereka mahu ia diadakan lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Menurutnya, Zombie Run berkonsepkan ‘Fun Run’ sejauh lima kilometer itu menekankan aspek kesihatan sambil berhibur dan tidak ada kaitan dengan unsur tahyul atau mistik yang digembar gemburkan.

Tambahnya, zombie bukan kategori seram atau hantu berunsur mistik, sebaliknya merupakan kategori sains fiksyen, di mana zombie bukanlah orang mati yang bertukar menjadi hantu tetapi adalah kumpulan manusia yang terkena virus dan bertukar kepada zombie.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com