Ku Li Yakin Rakyat Kelantan Tolak PAS, PAN Pada PRU14


BIASANYA kenyataan serta pandangan  Ahi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diberi perhatian dan diambilkira apabila beliau menyentuh sesuatu isu sama ada politik ataupun tentang ekonomi.

Ini berdasarkan pengalaman dan ketokohan Tengku Razaleigh sebagai ahli ekonomi, bekas Menteri Kewangan dan bekas pemimpin kanan UMNO yang pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertandingan sengit bagi jawatan Presiden UMNO.

Kenyataan Tengku Razaleigh jarang sekali disanggah baik pemimpin UMNO mahu pun pihak pembangkang.

Baru-baru ini Tengku Razaleigh menyatakan beliau menaruh keyakinan rakyat Kelantan akan menolak parti lain termasuk PAS yang tidak membawa perubahan terhadap taraf hidup rakyat walaupun sudah lama memerintah negeri ini.

Katanya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) di Kelantan sebagai perkara yang positif dan baik bagi rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata pertandingan tiga penjuru itu akan membolehkan pengundi di negeri ini memilih wakil rakyat daripada parti yang boleh membantu mereka.

"Rakyat Kelantan mungkin beralih sokongan kepada UMNO yang bersedia membawa perubahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Usahawan Amanah Iktiar Malaysia (AIM) Parlimen Gua Musang di Bukit Chekati.

Beliau turut mengulas kemungkinan kerjasama di antara UMNO dan PAS.

Kata Tengku Razaleigh, setakat ini belum ada cadangan bagi tujuan itu dan peringkat bawahan UMNO juga mungkin menolak kerjasama terbabit.

"Tak ada cadangan (UMNO) nak bergabung dengan PAS. Saya juga tak fikir peringkat bawahan bersetuju berbuat demikian," katanya yang dipetik dari akhbar tempatan.

UMNO/BN pernah bekerjasama dengan PAS dan membentuk kerajaan negeri dan Persekutuan pada zaman Presiden PAS, Datuk Asri Muda selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

Tengku Razaleigh juga tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' jika kerjasama politik dijalin di antara UMNO dan PAS di Kelantan pada PRU-14.

Tengku Razaleigh mahu kepemimpinan UMNO mengkaji dahulu perkara terbabit (kerjasama UMNO-PAS) kerana sejarah di Kelantan sudah membuktikan perjuangan kedua-dua parti berkenaan tidak sama.

Pada PRU14,  PAS akan menghadapi tentangan UMNO/BN dan Parti Amanah Negara (PAN) selain Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didokong oleh DAP.

Dr. Mahathir yang mengetuai Pakatan Harapan baru-baru ini turut meminta rakyat Kelantan menolak PAS dengan  memberi sokongan kepada PAN atas alasan kerajaan PAS gagal membangunkan negeri itu. - Kedanews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com