Kos Baiki Menara Jam Big Ben RM345 Juta


LONDON – Kos pembaikan semula menara jam yang digelar Big Ben dan terletak di Istana Westminster dikatakan men­cecah £61 juta (RM345 juta) dan jika tidak diperbaiki locengnya tidak akan berbunyi selama empat tahun, lapor Mail Online.

Kelmarin, pihak berkuasa mengesahkan kenaikan kos secara ketara itu sekali gus bakal menelan belanja dua kali ganda berbanding kos asalnya.

Menara Elizabeth setinggi 96 meter itu merupakan mercu tanda kota London dan sering menjadi tumpuan pelancong.

Projek pemuliharaan me­nara jam itu yang bermula tahun 2016 pada asalnya bernilai £29 juta (RM164).

“Jumlah keseluruhan projek itu termasuk risiko, cukai nilai ditambah, kerja-kerja keselamatan kebakaran kini dianggarkan sebanyak £61 juta.

“Pihak Suruhanjaya De­wan Perwakilan turut menyuarakan kekecewaan mereka atas kenaikan kos dan ketidaktentuan anggaran kos asal yang sukar dipercayai itu,” kata Dewan Perwakilan dalam satu kenyataan.

Usaha pembaikan yang mencetuskan kontroversi itu menyebabkan pihak ber­kuasa mengumumkan Big Ben hanya akan membunyikan locengnya pada majlis-majlis khas sepanjang tempoh empat tahun akan datang, sementara kerja-kerja baik pulih dilakukan.

 Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com