KORAL Beri Peluang Anak Kedah Timba Khazanah Ilmu Laut Azhar Mansor


ALOR SETAR - Anak-anak muda di negeri Kedah khususnya di Pulau Langkawi kini berpeluang untuk mendapat ilmu pelayaran dan kemahiran di laut secara percuma yang dikendalikan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengumumkan perkara tersebut menjelaskan bahawa ia merupakan kerjasama antara Pejabat Menteri Besar Kedah dan Telaga Harbour Marina yang termeterai bagi melahirkan lebih ramai pelayar berkualiti dari negeri ini.

"Program muafakat komuniti yang dinamakan Kor Anak Laut atau Koral adalah untuk membimbing anak muda mendalami latihan kemahiran di laut, ilmu pelayaran, kepimpinan dan pendedahan kepada khazanah perairan Langkawi." katanya kepada Kedahnews.com di sini, petang semalam.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian pada sidang akhbar sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini, petang semalam.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Azhar dan barisan Exco Kerajaan Negeri sebagai sokongan padu terhadap program berkenaan.

Ahmad Bashah berkata,  Pulau Lagenda itu memiliki pelbagai kelebihan dalam penganjuran program seumpama itu disebabkan ia dikelilingi perairan yang begitu kaya dengan khazanah laut dan warisan keindahan alam dasar laut

Selain itu jelas beliau, di pulau kebanggaan negeri Kedah itu juga terdapat pelbagai kemudahan maritim yang tersedia di mana ia membolehkan pelbagai aktiviti laut diadakan dengan baik dan cukup sempurna.

"Untuk menjayakan program CSR ini, kita sangat bertuah kerana dapat berpandukan kepada pengalaman Azhar untuk dimanfaatkan dalam lahirkan anak Kedah yang mahir dalam ilmu pelayaran.

"Program ini berpengkalan di sebuah pulau buatan berkeluasan 2.4 ekar, terletak kira-kira 700 meter dari Telaga Habour Marina berhadapan Pantai Kok, dikenali sebagai Pulau Seratusa,” katanya lagi.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu juga berkata, pelbagai aktiviti rekreasi juga dapat dianjurkan dengan empat buah kapal dan 11 buat jet ski yang disediakan khas untuk program tersebut.

"Kita akan bangunkan projek bermanfaat untuk rakyat, di mana perjanjian pajakan pulau bekenaan dibuat antara Telaga Harbour Marina dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) selama 30 tahun," ujar beliau lagi.

Azhar Mansor setibanya di Awana Porto Malai Resort, Langkawi pada Ogos 1999 selepas memulakan pelayaran mengelilingi dunia sejak Februari, 1999.
Program Koral dibahagikan kepada tiga unit yang merangkumi Kor Muda Laut bagi remaja berusia 13 hingga-17 tahun, Kor Remaja Laut, bagi belia yang berusia 18 hingga 21 tahun, dan Kor Simpanan Laut yang terbuka kepada sukarelawan yang bergiat dalam program secara berterusan.

Jelas Ahmad Bashah lagi, antara objektif utama program KORAL diadakan adalah bagi melatih dan memupuk pemikiran golongan anak muda kepada kemahiran berkaitan lautan, ilmu pelayaran, kepimpinan dan pendedahan kepada khazanah di perairan Langkawi.

Difahamkan bahawa pusat aktiviti bermanfaat itu akan turut dikendalikan oleh syarikat swasta, Breakwater Boating Recreation Sdn Bhd, yang sebelum ini memeterai perjanjian pajakan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ke atas pulau buatan itu selama 30 tahun. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com