Ketahui Kisah Silam, Pengajaran Daripada Pertempuran Jitra


ALOR SETAR - Sambil menyingkap sebuah peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah Jitra, kawasan dalam daerah tertua dalam kesultanan Melayu Kedah itu mempunyai kisah silamnya tersendiri.

Sebagaimana dikatakan sejarah pertempuran di sana tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat tempatan, begitu juga kisah hikayatnya yang penting sebagai asal usul datangnya nama Jitra.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri, Jitra mempunyai sejarah penting dalam negara khususnya tentang pertempuran Jitra.

“Apabila menyelak helaian demi helaian buku-buku sejarah daerah Kubang Pasu dan membaca jurnal pertempuran Jitra, pekan kecil itu sebenarnya mempunyai cerita yang sangat menarik.

“Sejarahnya perlu diberitahu kepada masyarakat khususnya penduduk Jitra sendiri tentang signifikan kewujudan kawasan tersebut di daerah tertua dalam Kesultanan Melayu Kedah iaitu Kubang Pasu.

“Kubang Pasu suatu ketika dahulu merupakan sebuah negeri dan Jitra menjadi pusatnya. Dalam catatan sejarah, daerah tersebut ada menceritakan hubungan kerajaan Kedah dengan Siam yang menjadikan Kubang Pasu sebagai sebuah negeri,” katanya ketika ditemubual.

Berbalik kepada sejarah Jitra, Suhaidi menjelaskan nama Jitra berasal dari Siam yang membawa maksud "singgah sebentar".

“Ejaan asal Jitra adalah 'Jutra' yang dicetuskan oleh seorang anak Raja Siam yang diperintahkan oleh ayahandanya untuk mendapatkan ubat di Gunung Jerai.

“Kemudian, dia telah berhenti berehat di suatu tempat sehingga tertidur di sebelah kudanya. Lalu datang seorang sami dan ternampak sekeping nota diikat pada kuda yang bertulis ‘Sampai pagi makan pagi, sampai petang makan petang.’

“Namun, sami tersebut berpendapat ungkapan sedemikian tidak baik untuk anak raja lalu menukarnya kepada ‘Sampai pagi sambut pagi, sampai petang sambut petang. Kasih ibu dan ayah.’

“Lantaran peristiwa itu, sami tersebut menamakan tempat itu dengan perkataan Jutra yang bermaksud berhenti rehat. Disebabkan perubahan masa dan dialek tempatan, sebutannya telah bertukar menjadi Jitra hingga ke hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu terdapat beberapa pengajaran penting dalam sejarah Jitra khususnya kisah pertempuran antara tentera British dan Jepun yang berlaku pada tahun 1941.

“Dalam Divisyen ke-11 tentera British, terdapat beberapa kaum yang diambil menjadi askar. Justeru, dekat situ wujud perpaduan kaum dalam mempertahankan tanah air meskipun kebanyakan mereka bukan berasal dari Tanah Melayu tetapi sanggup mati untuk negara ini.

“Kemudian, lihat aspek positif dalam taktik serangan Jepun, bagaimana mereka boleh mengalahkan British dalam tempoh beberapa hari sahaja dengan jumlah tentera yang tidak ramai. Perancangan yang dirangka tentera Jepun begitu teliti dan berkesan.

“Selain itu, sikap sombong British dan terlalu yakin akhirnya memakan diri sendiri. Sikap ‘tidak apalah’ membuatkan tentera British terkejut dengan serangan Jepun yang disangka mendarat di sepanjang pantai Pekan, Pahang ke Mersing, Johor,” ujarnya.

Suhaidi turut menambah, sejarah pertempuran Jitra wajar dikenang kerana pengajaran dari kegagalan itu adalah penting khususnya buat generasi muda masa kini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com