Kereta 'Terbang', Tergantung Pada Tembok Klinik Kesihatan Changlun


ALOR SETAR - Gara-gara seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) tersalah tekan pedal minyak,  kereta dipandunya ‘terbang’ dan tersangkut di tembok Klinik Kesihatan Changlun, kelmarin.

Kejadian yang berlaku pada jam 9.50 pagi itu menggemparkan pesakit yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pemandu yang berusia 21 tahun itu datang dari arah Lebuh Raya Utara Selatan dan membelok ke klinik kesihatan tersebut.

"Tiba sahaja di simpang berkenaan, pelajar tersebut membelok ke kiri dan ingin menekan brek tetapi tertekan pedal minyak menyebabkan ia terbabas dan terlanggar tembok pagar klinik," katanya.

Sementara itu,  sumber Jabatan Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM mendakwa pelajar tersebut hendak ke klinik terbabit bagi menjalani rawatan fisioterapi.

“Penuntut jurusan Matematik Perniagaan yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu, bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Menurut Ismail lagi, kereta yang dipandu pelajar terbabit mengalami kerosakan  di beberapa bahagian dan tembok klinik kesihatan juga turut rosak.

"Manakala tembok klinik kesihatan berkenaan pecah, jeriji pagar tembok bengkok, besi maklumat papan informasi tercabut dan penghadang jalan pecah," katanya.

 kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com