Kerajaan Pertimbang Wujud Balai Cerap Anak Bulan Di Pulau Bunting


ALOR SETAR - Kerajaan diminta untuk menimbangkan kewujudan sebuah balai cerap di Pulau Bunting, Yan dekat sini yang mampu menjadi ikon pelancongan terbaru selain membantu perkembangan ilmu sains berkaitan cakerawala.

Hal ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pembinaan balai cerap itu bakal mendatangkan manfaat kepada agama memandangkan pulau itu telah dikenal pasti sebagai lokasi yang boleh memberi cerapan paling tepat berbanding kawasan lain di negara ini.

“Perkara ini dimaklumkan oleh Persatuan Falak Syarie Malaysia. Sekiranya balai cerap itu dapat dibina, sudah tentu ia akan membawa makna besar kepada masyarakat Islam di negara ini.

“Setakat ini saya sudah me­nyatakan hasrat kepada pihak berkaitan berhubung pembinaan balai cerap tersebut. Sama-sama kita doakan agar hasrat itu menjadi kenyataan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Yan di Dewan Datuk Madi, di sini kelmarin.

Tambah beliau, mengikut pe­­­rancangan balai ce­­rap itu tidak hanya akan digunakan untuk mencerap anak bulan sempena perayaan Aidilfitri dan Aidiladha semata-mata malah turut dilengkapi bangunan termasuk bilik latihan dan penginapan untuk pengunjung.

“Tinjauan saya ke Balai Cerap Teluk Kemang di Port Dickson mendapati ramai pelancong luar tinggal di situ untuk tempoh lama semata-mata bagi menjalankan kajian atau sekadar menyaksikan keindahan alam cakerawala.

“Begitu juga harapan kita di sini nanti. Perkara sebegitu sudah tentu akan membantu me­rancakkan perkembangan ekonomi penduduk setempat selain membolehkan ramai rakyat tempatan menjalani latihan atau kursus berkaitan di negeri ini,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Jerai.

Sementara itu, katanya, pembenta­ngan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini diyakini akan mendatangkan khabar gembira buat rakyat Malaysia terutamanya kaki­tangan kerajaan termasuk yang berada di bawah portfolio beliau.

“Saya mengharapkan supaya kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada pengukuhan institusi agama seperti mahkamah syariah termasuk dari aspek ba­ngunan serta pendapatan pegawai dan kakitangannya,” ­katanya yang dipetik dari Utusan Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com