Kerajaan Bantu Mahasiswa Taraf Usahawan Pasar Produk


ALOR SETAR - Seramai 59,000 mahasiswa bertaraf usahawan dibantu dalam memperkasakan produk perniagaan masing-masing yang dilihat berkemampuan dipasarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pihaknya memperuntukkan RM10 juta bagi membantu mahasiswa yang kreatif dan berdaya saing dalam bidang keusahawanan.

Ujarnya,  pihak kementerian sentiasa bersedia membantu mahasiswa dari segi produk yang mampu diketengahkan melalui pelbagai bantuan dan latihan sekali gus mampu berdaya saing.

“Atas faktor itulah, 59,000 mahasiswa bertaraf usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dibantu melalui peruntukan yang disediakan sejak 1 Januari lalu.

“Kita membantu mereka (mahasiswa) dengan memberi pendaftaran percuma kepada penubuhan syarikat mereka serta membuat saringan produk yang diketengahkan sebelum sampel dihantar ke kementerian untuk dinilai,” katanya yang dipetik dari MyMetro.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Varsity Mall di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, semalam.

Tambah Hamzah, jika sesuatu produk terbabit usahawan muda mahasiswa belum mencapai standard tertentu, pihaknya akan meminta supaya ia diperbaiki.

“Jika ia produk lengkap, kita akan beri bimbingan seterusnya melalui perundingan dari KPDNKK atau pihak yang dilantik.

“Konsultansi membabitkan pelbagai aspek ini akan membolehkan produk berkenaan mendapat tempat dalam kalangan pengguna,” ujarnya.

Mengulas lanjut perkara tersebut, katanya, kementerian akan menilai produk terlebih dahulu sebelum dipasarkan agar mempunyai kriteria berkualiti tinggi supaya kebolehpasarannya berada tahap yang maksimum untuk dipasarkan di dalam dan luar negara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com