Kematian Anggota TLDM: Mindef Beri Kerjasama Sepenuhnya Kepada Polis


JITRA - Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan berhubung kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit TLDM, di Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, Jumaat lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata pihaknya percaya polis akan menyiasat kes tersebut dengan telus dan meminta agar semua pihak menunggu hasil siasatan polis.

"Jadi saya minta orang ramai jangan buat spekulasi berhubung kes ini..biar polis buat siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi Prasekolah 2017 di Sekolah Kebangsaan Seri Banai di sini semalam.

Hari ini, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee dalam kenyataannya memaklumkan bahawa polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Sehubungan itu tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 44 tahun direman tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Okt.

TLDM dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan, pada Jumaat.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas dan disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com