Kemalangan Bas Kilang: Dua Pemandu Bebas Dadah, Alkohol


SEBERANG JAYA - Dua pemandu bas kilang yang ditahan selepas kemalangan yang mengorbankan lapan nyawa di Kilometer 147 berhampiran Plaza Tol Juru, pagi semalam, didapati bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid.

Menurut Ros Azhan, saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua pemandu yang berusia 23 dan 37 tahun itu didapati negatif.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati pemandu bas kilang elektronik yang berhenti di lorong kiri lebuh raya selepas kenderaan yang dipandunya mengalami kerosakan mempunyai tiga waran tangkap atas beberapa kesalahan berkaitan undang-undang jalan raya.

"Manakala siasatan ke atas seorang lagi pemandu bas mendapati beliau tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Ros Azhan, kedua-dua lelaki itu direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian.

Pada masa yang sama, Ros Azhan berkata, polis sedang menunggu keputusan ujian darah dua pemandu bas tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, lapan pekerja wanita maut manakala 44 lagi mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan dua buah bas serta sebuah van kilang.

Seorang mangsa yang maut adalah warga tempatan manakala tujuh lagi merupakan warga Indonesia.

Dalam kemalangan itu, bas yang membawa pekerja kilang elektronik terdiri daripada warga Indonesia dan Nepal telah berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan enjin sebelum dilanggar bas membawa pekerja tempatan dari Parit Buntar untuk ke kilang di Bayan Lepas.

Jenazah warga tempatan yang dikenali sebagai Noriah Kasa, 40, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Dungun, Bagan Serai Perak, kira-kira jam  6.05 petang semalam.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com