Keluarga Anggota TLDM Tuntut Keadilan


KOTA BHARU - Keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, Jumaat lalu mahu menuntut keadilan dan akan memastikan pelaku mendapat pembalasan setimpal.

Ketika ditemui di majlis pengebumian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat dekat sini Ahad, kakak sulungnya, Nik Norliliwati, 44, berkata mereka sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan bahawa punca kematian adiknya akibat penderaan.

Nik Norliliwati berkata mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci dan akan menunggu keputusan penuh daripada pihak berkuasa.

"Keluarga kami mungkin melantik peguam. Kami akan menuntut keadilan terutama untuk keluarganya," kata kakak Nik Muhammad Baihaqy.

Nik Muhammad Baihaqy, 28, dan rakan setugasnya Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, masing-masing berpangkat Laskar Kelas 1, meninggal dunia pada petang Jumaat selepas menjalani latihan fizikal.

Sebelum itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Namun ia kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat yang mendapat terdapat kesan penderaan dan kecederaan pada tubuh mangsa.

Jenazah Nik Muhammad Baihaqy dikebumikan mengikut isitiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbat, Pasir Tumboh.

Bercakap kepada pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Sabtu, isteri Nik Muhammad Baihaqy, Noor Bazlin berkata dia tidak akan memandang ringan kes kematian suaminya jika wujud unsur jenayah.

Noor Bazlin yang berkhidmat sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Datuk Keramat, Kuala Lumpur berkata suaminya ditahan di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, sejak Rabu.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, dia berbual kali terakhir dengan suaminya pada malam Rabu dan dimaklumkan dia ditahan kerana masuk kerja lewat dua kali.

"Dia beritahu saya supaya menjaga anak-anak dan dia akan balik tidak lama lagi.

"Dia menghubungi saya dua kali, sekali pada pukul 11 malam dan kali kedua pada 11.42 malam beritahu saya supaya jangan risau dan dia mahu berhenti kerja.

"Namun saya terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai tentera laut pada pukul 5.30 petang Jumaat memaklumkan mengenai kematian suami saya," katanya yang kali terakhir bertemu suaminya pada 23 September lalu.

Noor Bazlin berkata suaminya berkhidmat bersama TLDM selama sembilan tahun dan dipindahkan ke pangkalan TLDM Lumut pada 2015.

"Sejak di Lumut, dia sering mengadu tertekan dengan kerjanya," kata Noor Bazlin.

Nik Muhammad Baihaqy meninggalkan tiga anak berusia antara 10 bulan dan empat tahun.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com