Kefahaman Rakyat, Peniaga Tentang GST Meningkat - Othman Aziz


TAHAP kefahaman rakyat dan peniaga berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah meningkat sejak ia diperkenalkan 1 April 2015, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz.

Othman berkata perkara itu dapat dilihat berdasarkan jumlah statistik aduan daripada rakyat dan peniaga yang semakin menurun diterima Jabatan Kastam dari 2015 sehingga Julai tahun ini.

“Kita telahpun mengambil pelbagai langkah untuk memastikan rakyat dapat memahami sistem percukaian ini.

“Berdasarkan rekod daripada Jabatan Kastam yang diterima melalui aduan-aduan, pada tahun 2015 kita telah menerima sebanyak 6,830 aduan. Pada tahun 2016 telah turun kepada 1,235 dan sehingga Julai 2017 hanya 185 aduan sahaja diterima oleh Jabatan Kastam.

“Ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman masyarakat dan peniaga yang terlibat telahpun meningkat. Maka sebab itulah masalah dan juga aduan yang diterima makin berkurangan,” kata beliau semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya lagi, kerajaan tetap meneruskan usaha-usaha menerusi kempen, program-program dan publisiti untuk menyedarkan masyarakat mengenai GST secara inklusif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST bermula 1 April, 2015 pada kadar peratus dalam pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013 lalu.

GST merupakan satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakannya.

Sumber:  MalaysiaGazette




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com