Kedah Teliti Jumlah Mangsa Banjir Sebenar, Tak Mahu Ada Yang Tercicir


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sedang menunggu laporan dari Pegawai-Pegawai Daerah tentang jumlah sebenar rakyat Kedah yang terjejas akibat musibah banjir yang melanda di negeri ini.

Beliau berkata, meskipun bantuan awal sudah diberikan kepada mangsa banjir di negeri ini, namun pihaknya perlu lebih teliti dengan mengambil kira jumlah sebenar mangsa bagi memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.

"Untuk perkembangan terkini dan bantuan-bantuan seterusnya, kita masih lagi menunggu laporan dan maklumat jumlah sebenar mangsa banjir yang terlibat daripada Pegawai Daerah

"Mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan memang kita sudah ada jumlahnya. Tapi mangsa yang terlibat dengan banjir namun tidak berpindah juga perlu diambil kira.

"Kita sedang mengumpul maklumat tersebut daripada Penghulu-Penghulu, Pegawai-Pegawai Daerah dan pengerusi-pengerusi JKKK di kawasan masing-masing.

"Kita yakin jumlah itu melebihi daripada jumlah mangsa banjir yang berdaftar di pusat-pusat pemindahan banjir," katanya kepada Kedahnews.com, sejurus menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah di Dewan Sri Negeri, di sini semalam.

Jelas beliau, sememangnya terdapat mangsa banjir yang tinggal di rumah dua tingkat dan tidak berpindah kerana menggunakan ruang di tingkat atas untuk didiami buat sementara waktu sehingga banjir surut.

Justeru itu, jumlah sebenar mangsa banjir di negeri ini perlu dikenal pasti bagi menentukan bentuk bantuan dan jumlah sumbangan yang akan diberikan kepada mangsa terbabit.

"Kita sedang banci jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah, kemudian barulah kita akan putuskan bentuk bantuan dan jumlah bantuan yang akan diberi oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan," ujar beliau.

Mengulas lanjut, golongan petani yang terjejas tanaman dan ternakan juga perlu diberi perhatian supaya menerima bantuan sewajarnya daripada pihak Kerajaan Negeri atau agensi seperti MADA dan kementerian terlibat.

"Kita tidak mahu ada di kalangan mangsa banjir di Kedah ini tercicir daripada menerima bantuan. Jadi kita kena teliti jumlah sebenar," tegas beliau, prihatin dengan musibah yang melanda rakyat di negeri ini akibat banjir.

Kedah kini sedang menghadapi gelombang kedua banjir yang menyaksikan beberapa kawasan dinaiki air, namun tidak sehebat musibah yang melanda negeri itu pada sekitar tahun 2010 yang lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com